KUALA LUMPUR 4 Mei – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bercadang merangka program mempertahankan diri dalam pasukan itu secara intensif dalam usaha meningkatkan keselamatan anggotanya yang sering berhadapan dengan situasi berbahaya semasa menjalan tugas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata ia masih dalam perancangan menerusi dasar sukan yang disediakan jabatan itu, sejajar dengan lumrah dengan tugas dan keperluan kecerdasan fizikal anggota bomba.
“Sekiranya potensi sukan mempertahankan diri boleh dimajukan, jabatan akan merangka program berkenaan secara intensif,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, setiap warga JBPM diharap terus memberikan khidmat kebombaan, keselamatan kebakaran dan pengurusan insiden dengan penuh dedikasi, profesional dan penuh rasa kemanusiaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Sempena Hari Bomba Sedunia pada hari ini, saya juga berdoa semoga setiap warga bomba sentiasa diberi keselamatan dan perlindungan semasa menjalankan tugas,” katanya.
Ketika ini sedang berlangsung inkues bagi menyiasat punca kematian seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, pada 17 Disember lepas, di ibu negara.
Muhammad Adib yang merupakan anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara.
Sementara itu mengulas mengenai sambutan Hari Bomba, Mohammad Hamdan berkata ia dijangka diadakan pada bulan Julai hadapan di ibu negara. – BERNAMA











