Program Dasar Warga Emas Negara di SMK Alor Janggus Prihatin meriah - Utusan Malaysia

Program Dasar Warga Emas Negara di SMK Alor Janggus Prihatin meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 4 Mei – Kira-kira 300 orang yang terdiri daripada guru, pelajar dan komuniti setempat serta wakil agensi-agensi terlibat hadir bagi memeriahkan Program Dasar Warga Emas Negara : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus Prihatin 2019 yang diadakan di Kampung Sematang Gunung di sini, hari ini.

Program yang bertujuan mendampingi dan menyantuni warga emas dalam komuniti, merapatkan hubungan antara warga sekolah dan komuniti setempat selain membantu golongan yang memerlukan itu, bermula dari pukul 8.30 pagi sehingga pukul 12 tengah hari.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya gotong-royong membersihkan kawasan Masjid Sematang Gunung dan kawasan pembiakan nyamuk, pemeriksaan kesihatan, ziarah warga emas dan pasar percuma barangan terpakai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka yang hadir ialah Pengetua SMK Alor Janggus, Nor Azlin Ahmad dan Pegawai Zakat Daerah Kota Setar, Burhanuddin Ahmad dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Alor Janggus, Ahmad Razali Ibrahim.

Selain pihak sekolah, agensi yang terlibat menjayakan program yang julung-julung kali diadakan itu adalah Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK Alor Janggus, Klinik Kesihatan Alor Janggus, Balai Polis Alor Janggus dan Lembaga Zakat Kedah.

Secara keseluruhan, program tersebut yang merupakan satu inisiatif di bawah Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Kementerian Pendidikan, telah berjaya mencapai matlamatnya.

Ini termasuk seramai sembilan orang warga emas yang uzur dan kurang berkemampuan telah diziarahi dan diberikan sumbangan barangan keperluan, membersihkan kawasan masjid daripada pembiakan nyamuk dan melibatkan ratusan penduduk untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Program yang dilaksanakan ini juga turut memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar menjayakan program bersama komuniti sekali gus memberikan pengalaman bermakna kepada mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini