TURIN 4 Mei – Massimiliano Allegri mempertahankan cara permainan yang digunakan selepas Juventus terikat seri 1-1 dengan Torino dalam aksi derby Turin di Stadium Allianz, hari ini.
Cristiano Ronaldo menjadi penyelamat pasukan dengan menjaringkan gol penyamaan pada enam minit terakhir permainan bagi memadam kelebihan jaringan Sasa Lukic.
Allegri sebelum ini menjadi mangsa kritikan selepas tewas kepada Ajax di suku akhir Liga Juara-Juara.
“Semua pihak sudah bertahun-tahun bercakap mengenai evolusi bola sepak tetapi saya tidak fikir kita perlu melupakan cara lama, termasuk apa yang diajarkan jurulatih sewaktu zaman remaja.
“Bola sepak bukanlah sains yang tepat. Jika tidak, awak dapat menjelaskan mengapa kami hanya memperoleh 38 peratus penguasaan ketika menewaskan Real Madrid 3-1 (Liga Juara-Juara Eropah pada 2018), namun menguasai perlawanan dengan Ajax tetapi tewas.
“Pemain merupakan bintang, mereka yang akan beraksi dalam perlawanan. Sebagai jurulatih kami hanya boleh meletakkan mereka di tempat paling tepat untuk mereka melakukan yang terbaik.
“Mereka mungkin mengkritik pendekatan saya, namun tugas jurulatih adalah untuk memberikan keputusan yang baik buat kelab,” katanya.-AGENSI











