GUA MUSANG 4 Mac – Seorang peneroka terkejut melihat ayam selasih kesayangannya dibaham seekor ular sawa batik di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2, di sini hari ini.
Harun Muhammad, 56, berkata, ular sawa itu dijumpai sudah kekenyangannya dan berada di dalam reban ayam di belakang rumahnya kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Kebiasaannya apabila saya datang ke reban, ayam selasih saya sudah berkokok, tetapi kali ini ia senyap sahaja. Rupa-rupanya sudah ditelan ular.
“Ayam selasih saya ini unik apabila warna daging, tulang dan darahnya dikatakan semuanya berwarna hitam tapi apakan daya sudah mati,” katanya.
Harun berkata, dia memelihara ayam selasih tersebut sejak dua tahun lalu yang menetas dari telur yang dibeli di Thailand dengan harga RM30 sebiji.
Katanya, ayam selasih itu istimewa kerana susah untuk diperolehi sehingga mempunyai nilai yang tinggi di pasaran.
“Saya menjaga ayam selasih yang dibeli itu dengan baik dan kerap melihat keadaannya termasuklah memberi makan.
“Selain harga mahal, ayam itu juga berkhasiat tinggi apabila boleh dibuat ubat kencing manis, darah tinggi dan menguatkan tenaga bagi golongan tua,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah, Mohd. Yusalmi Mohd. Yusoff berkata, selepas menerima laporan berhubung kejadian itu, dua anggota ke lokasi dan mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular sawa batik seberat 14 kilogram.
“Ular sepanjang empat meter itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











