PUTRAJAYA – Sejumlah RM24 juta dana pembangunan dan penyelidikan (R&D) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kini dikenali sebagai MESTECC diperuntukkan khas untuk penyelidikan industri bagi tahun ini.
Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, ia adalah langkah pertama kali kementerian itu di mana dana berkenaan melibatkan lebih 50 peratus daripada dana R&D yang diperuntukkan bagi tujuan berkenaan berbanding hanya 8.6 peratus sebelum ini.
“Ia satu daripada 23 inisiatif MESTECC bagi sektor sains dan teknologi.
“Jika kita lihat negara lain seperti Singapura, peruntukan dana untuk penyelidikan industrinya ialah 48 peratus manakala Jepun 78 peratus, dan buat pertama kali tahun ini bermula di MESTECC kita peruntukan sejumlah lebih 50 peratus untuk penyelidikan industri,” katanya pada pemberita dalam satu temubual khas sempena setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sini.
Bee Yin berkata, antara objektif peruntukan itu adalah mewujudkan ekosistem yang diaplikasikan dalam industri dan ekonomi supaya sektor tersebut boleh mencipta kekayaan untuk Malaysia melalui sains dan teknologi di samping mewujudkan peluang pekerjaan. – Bernama











