Anggota bersenjata maut ditembak - Utusan Malaysia

Anggota bersenjata maut ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI 3 Mei – Pasukan keselamatan Thailand menembak mati seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan bersenjata dalam satu insiden berbalas tembakan di Nong Chik, Pattani, selatan Thailand.

Jurucakap Tentera Bahagian ke-4, Kolonel Thanavi Suwannarat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, lelaki berusia 37 tahun dari Kampung Long Khuan, Sebayoi, Wilayah Songkhla ditembak mati di sebuah ladang getah di Kampung Bakong.

Insiden tembak menembak berlaku selama kira-kira 10 minit. Walaupun diminta menyerah diri, namun lelaki itu enggan dan bertindak cuba melarikan diri dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami juga menemukan sepucuk pistol di sisi mangsa. Dalam kejadian itu, seorang anggota polis turut mengalami kecederaan,” katanya.

Anggota kumpulan bersenjata yang maut itu adalah suspek yang dikehendaki polis kerana pernah terlibat dalam insiden pengeboman balai polis di Hatyai dan samun kenderaan pada 2014 dan 2015.

Sementara itu di Narathiwat, Ketua Kompeni Renjer ke-45, Kolonel Issara Jantakrayom berkata, satu insiden berbalas tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata di Kampung Repah, Dusun Nyur, Narathiwat hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 8 pagi (waktu tempatan), kumpulan enam lelaki yang bersenjata melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan. Selepas kira-kira 10 minit berbalas tembakan, kumpulan itu berjaya meloloskan diri.

“Pasukan keselamatan sedang menjejaki anggota kumpulan itu dan kami percaya ada antara mereka mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau menambah bahawa pasukan keselamatan menemui beg yang mengandungi makanan kering, pakaian dan ubat-ubatan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini