YTL Cement beli pegangan Lafarge RM1.63 bilion - Utusan Malaysia

YTL Cement beli pegangan Lafarge RM1.63 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Mei – YTL Cement Bhd. memeterai perjanjian penjualan saham tanpa syarat dengan Associated International Cement Ltd. untuk mengambil alih 433.34 juta saham biasa, merangkumi hampir 51 peratus ekuiti dalam Lafarge Malaysia Bhd. (Lafarge) dengan pertimbangan tunai berjumlah RM1.63 bilion.

Pengarah Urusan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh Sock Siong

Ia melibatkan RM3.75 bagi setiap saham dan apabila pengambilalihan itu selesai, YTL Cement akan memegang 51 peratus dalam Lafarge.

Memuatkan artikel berkaitan…

Susulan itu, YTL Cement dalam kenyataan memaklumkan telah melanjutkan tawaran pengambilalihan mandatori untuk memperoleh semua baki saham Lafarge yang belum dimiliki oleh YTL Cement, selaras dengan Kod Pengambilalihan dan Penggabungan Kod Malaysia 2016.

Tawaran pengambilalihan mandatori bersyarat ini akan dilaksanakan pada harga tawaran tunai sebanyak RM3.75 untuk setiap saham biasa di Lafarge Malaysia, yang mewakili premium 19 peratus kepada harga purata jumlah saham wajaran selama lima hari pada RM3.15.

Menurut Pengarah Urusan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh Sock Siong, pengambilalihan itu memberi peluang kepada syarikat untuk melonjakkan kedudukan sebagai sebuah syarikat simen yang dimiliki rakyat Malaysia dan meningkatkan keupayaan menawarkan pelbagai produk simen kepada para pelanggan.

Katanya, dalam masa sama, ia juga membolehkan syarikat memaksimumkan ekonomi skala untuk meningkatkan kecekapan kos dan seterusnya mengembangkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk melakukan inovasi dan memperluaskan pelbagai tawaran produk simen.

“Lafarge adalah strategik kepada perniagaan kumpulan YTL Cement dan kami menjangkakan kejayaan integrasi merangkumi operasi kami akan mengukuhkan keupayaan kami memenuhi aspirasi pertumbuhan serantau kumpulan, memacu pengembangan dalam pasaran eksport dan meneruskan pembangunan modal intelektual dan keupayaan R&D,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengambilalihan itu dijangka melengkapkan aktiviti perniagaan teras YTL Cement dan memenuhi sinergi termasuk kecekapan operasi dalam logistik serta pengedaran dan perolehan.

“Ini juga merangkumi dari segi sinergi kos daripada skala ekonomi, pengurangan atau penghapusan beberapa fungsi dan penggabungan perbelanjaan korporat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini