LONDON – Seorang pencari barangan terbuang telah menemui sebatang gigi gajah purba atau mamot di dalam lumpur tebing Sungai Thames di sini baru-baru ini.
Alan Murphy, 50, berkata, ini adalah penemuan kedua gigi haiwan purba itu di sungai sama selepas dia turut menjumpai gigi susu seekor anak mamot lima tahun lalu.
Menurut Murphy, gigi kedua ditemuinya itu dipercayai bahagian geraham dan tiga per empat daripadanya masih berada dalam keadaan baik dan utuh. Gigi itu digambarkan berat seperti satu pek gula dan sepanjang tapak tangan manusia.
“Saya keluar untuk mencari batu pengasah untuk menghasilkan replika kepala anak panah dan kapak sebelum terpandang objek tersebut pada gigi air. Pada mulanya saya menyangka ia adalah batu pengasah,” katanya.
Dia kemudian sedar objek tersebut adalah gigi mamot kerana pernah melihatnya sebelum ini. Penemuan itu bagaimanapun masih tidak dapat disahkan sehingga ia didaftarkan dan diperiksa pakar. – Agensi











