Malaysia berpeluang baiki ranking dunia - Utusan Malaysia

Malaysia berpeluang baiki ranking dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Berita gembira menanti skuad FIT Touch Lelaki 40 Tahun  (L40) negara apabila berpeluang menempatkan diri dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia selepas ini.

Berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan Federation International Touch (FIT) pada Februari lepas, skuad kendalian Samsul Nor Azim masih belum berjaya berada dalam radar posisi 20 pasukan terbaik dunia.

Justeru, peluang beraksi pada kejohanan Piala Dunia FIT Touch 2019 atas tiket selaku tuan rumah di Taman Ekuestrian Putrajaya sememangnya satu bonus buat skuad negara dalam usaha memperbaiki ranking dunia meskipun menamatkan saingan di tempat tercorot daripada 13 pasukan bertanding.

Memuatkan artikel berkaitan…

Skuad negara berupaya untuk menamatkan saingan pada kedudukan lebih baik tetapi terpaksa akur kalah tipis 4-5 kepada Belgium pada aksi playoff pertama pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara sekadar beraksi pada aksi penentuan tempat ke-12 dan ke-13 dan sekali lagi terpaksa akur tumpas 4-11 kepada Ireland petang tadi.

“Ini pengalaman paling bermakna buat semua pemain yang telah memberikan prestasi terbaik sepanjang kejohanan.

“Suka atau tidak, kami perlu terima hakikat pasukan-pasukan lain sememangnya membuat persediaan lebih rapi berbanding skuad negara yang hanya mula berlatih pada Ogos tahun lalu,” kata Samsul.

Pada aksi final kategori L40 petang tadi, juara bertahan, Australia gagal menepati ramalan awal apabila dikejutkan musuh tradisi, New Zealand dengan keputusan 6-8.

Episod duka The Kangaroos tidak terhenti di situ apabila turut gagal mempertahankan kejuaraan bagi kategori Lelaki 50 Tahun (L50) apabila tewas 5-9 kepada New Zealand pada aksi final petang tadi.

Kekecewaan Australia akhirnya terubat apabila berjaya meraih pingat emas pertama menerusi kategori Wanita 35 Tahun (W35).

Australia dijangka kembali mendominasi kejohanan apabila berjaya menempah slot separuh akhir kategori Lelaki 45 Tahun (L45), Lelaki 35 Tahun (L35) dan Wanita 27 Tahun (W27) yang dijadualkan berlangsung esok. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini