Tekong maut, enam pemancing terselamat bot terbalik di Pulau Tinggi - Utusan Malaysia

Tekong maut, enam pemancing terselamat bot terbalik di Pulau Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 2 Mei – Seorang tekong bot maut, manakala enam pemancing berjaya diselamatkan, selepas bot pancing yang dinaiki mereka terbalik di perairan Pulau Tinggi, dekat Mersing, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Mairitim negeri Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata kesemua mereka ditemui oleh tekong bot nelayan tempatan, yang ketika itu melalui kawasan kejadian pada jam 7.30 pagi.

Katanya, kejadian berlaku apabila sekumpulan pemancing lelaki termasuk seorang tekong, yang memakai jaket keselamatan berusia antara 30 hingga 64 tahun itu keluar ke laut pada jam 4.30 petang semalam, sebelum dilanda ribut dan bot mereka terbalik kira-kira 2.40 pagi tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Akibat daripada keadaan cuaca yang sejuk, tekong bot pancing dikenali sebagai Mustafa Harun, 64, meninggal dunia, kerana mengalami kesesakan nafas ketika terapung, sebelum meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi.

“Bagaimanapun, kesemua mereka ditemui seorang tekong bot nelayan tempatan lain yang ketika itu membawa sekumpulan pemancing lain, telah membawa mereka pulang ke jeti berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Sanifah, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC Johor Bahru) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 mengenai kejadian bot pancing terbalik di perairan Pulau Tinggi itu pada jam 11.15 pagi tadi.

Terdahulu, menerusi akaun Facebook orang awam, tular satu video yang memaparkan sebuah bot menyelamatkan beberapa mangsa yang memakai jaket keselamatan di tengah laut.

Dalam video berkenaan juga, kelihatan mangsa yang meninggal dunia turut diangkat memasuki bot berkenaan oleh sekumpulan pemancing.

Sanifah berkata, Maritim Malaysia memuji tindakan prihatin komuniti maritim setempat yang dapat menyelamatkan nyawa orang ramai.

“Komuniti maritim dan keseluruhan masyarakat secara amnya dinasihatkan agar menitikberatkan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

“Persediaan sewajarnya seperti cakna tentang ramalan cuaca dan pematuhan undang-undang dapat mengurangkan risiko kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian 999 atau MRSC Johor Bahru di talian 07-221 9231.– BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini