Pemuda UMNO tubuh jawatankuasa bela peneroka, pekebun kecil - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO tubuh jawatankuasa bela peneroka, pekebun kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Mei – Selepas menyelami kesukaran dan tekanan hidup yang dihadapi oleh peneroka Felda dan golongan pekebun kecil, Pemuda UMNO membuat keputusan menubuhkan Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil yang dinamakan sebagai Pembela.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jawatankuasa itu akan memainkan peranan untuk memperjuangkan isu-isu serta masalah peneroka dan pekebun kecil supaya tidak diabaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dan Exco sepanjang dua minggu lepas menjelajah ke beberapa tanah rancangan dan mendapati keadaan peneroka dan pekebun kecil sangat merisaukan.

“Mereka berhadapan dengan keperitan hidup susah terutama kerana harga sawit telah merudum.

“Kita mahu pastikan nasib mereka didengari oleh kerajaan PH agar sekurang-kurangnya PH mengikut apa yang Barisan Nasional lakukan sebelum ini kalau tidak boleh tawarkan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Jelas Asyraf Wajdi, jawatankuasa Pembela tidak akan bertindak menabur fitnah atau menghasut peneroka seperti yang didakwa dilakukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Felda sebelum ini.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu juga penting kerana beberapa menteri PH sendiri dilihat tidak memahami keperluan hidup peneroka dan pekebun kecil serta aktiviti perladangan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini