KOTA TINGGI – Seorang warga emas meninggal dunia akibat sesak nafas ekoran kesejukan manakala enam lagi rakannya terselamat selepas bot dinaiki mereka terbalik dipukul ribut dalam kejadian di perairan Pulau Tinggi di sini awal pagi semalam.
Mangsa, Mustafa Harun, 64, menghumbus nafas terakhir pada pukul 4 pagi selepas terapung lebih dua jam setelah bot dinaiki mereka terbalik dan karam.
Difahamkan, kesemua tujuh mangsa yang berusia antara 30 hingga 64 tahun itu dikatakan keluar ke laut pada pukul 4.30 petang semalam untuk memancing ikan di perairan berkenaan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, pada pukul 2.40 pagi hari ini, keadaan laut bergelora dan ribut kuat melanda kawasan perairan sebelum bot dinaiki mereka terbalik sebelum karam.
“Kesemua mangsa terselamat pada awalnya selepas memakai baju jaket keselamatan namun salah seorang mangsa berusia 64 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas ekoran kesejukan.
“Sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan kejadian bertindak menyelamatkan kesemua mangsa yang terselamat manakala mangsa yang meninggal dunia dijumpai pada pukul 7.30 pagi dan dibawa ke jeti berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sanifah berkata, Maritime Rescue Sub-Coordination Centre (MRSC Johor Bahru) telah menerima panggilan kecemasan melalui talian mers 999 mengenai kejadian bot pancing terbalik di perairan Pulau Tinggi pada pukul 11.15 pagi tadi.
Beliau memuji memuji tindakan prihatin komuniti maritim setempat yang dapat menyelamatkan nyawa mangsa yang terlibat. – K! ONLINE.











