KUALA LUMPUR 2 Mei – Pergerakan Pmuda UMNO menyokong penuh dan akan menyertai Himpunan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan Negara yang akan diadakan pada Sabtu ini, kerana merasakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti bermain wayang dalam isu Statut Rom.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan mengerahkan seramai mungkin ahli-ahli Pemuda UMNO menyertai perhimpunan itu untuk turut sama menyatakan pendirian supaya kesucian Islam dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan tidak dicabar.
Katanya, ini memandangkan sesudah Kabinet membuat keputusan menarik balik ratifikasi Statut Rom, beberapa pihak yang dilihat bersama dengan kerajaan seolah-olah bermain wayang dan bersandiwara dalam hal tersebut.
“Peguam Negara, Tommy Thomas boleh terlibat (hadir) dalam forum yang mana ahli-ahli panel dikatakan meremehkan keputusan kerajaan itu.
“Ini seolah-oleh dibisukan oleh Peguam Negara yang berada dalam forum yang sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Perhimpunan yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dijadualkan bermula di Masjid Jamek, di sini selepas Solat Zohor dan berarak sehingga di hadapan pusat beli-belah Sogo yang terletak berdekatan.
Pada 8 Disember lalu, perhimpunan seakan sama turut dianjurkan bagi membantah usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dihadiri jutaan rakyat.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi sekali lagi mendesak agar Tommy meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara kerana merasakan beliau tidak layak memegang jawatan tersebut kerana didakwa gagal menasihati kerajaan dalam isu Statut Rom dan proses-proses yang diperlukan termasuk mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. – UTUSAN ONLINE











