KUALA LUMPUR 2 Mei – Sebanyak 5,000 anggota polis seluruh kontinjen akan digerakkan bagi mengawal aliran trafik di seluruh negara yang dijangka mengalami kesesakan sepanjang Ramadan bermula 6 Mei ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, seluruh kontinjen akan merancang pelaksanaan penugasan khas dan ‘point duty’ di lokasi yang dikenal pasti berlaku kesesakan.
Menurutnya, anggota trafik akan melakukan kawalan di jalan raya yang sesak pada waktu puncak sebelah petang dan lebih 300 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara.
“Pihak JSPT turut menyediakan pasukan bergerak untuk memantau keadaan lalu lintas yang sesak dan mengawal keadaan jalan raya sekiranya berlaku situasi luar jangka.
“Jumlah anggota yang akan bertugas dijangka mencukupi dan sentiasa bersedia dalam menangani kesesakan jalan raya sepanjang bulan Ramadan walaupun terpaksa berbuka dilokasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Azisman, para peniaga bazar Ramadan diingatkan tidak mengambil kesempatan berniaga di tepi jalan raya sehingga mengganggu lalu lintas.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat halangan semasa berkunjung ke bazar Ramadan kerana situasi ini dibimbangi akan menyebabkan kesesakan lalulintas dan kemalangan jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











