PM lancar platform e-dagang komoditi Malaysia - Utusan Malaysia

PM lancar platform e-dagang komoditi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 Mei – Bohai Commodity Exchange Malaysia/ASEAN menjadi platform e-dagang komoditi Malaysia yang pertama dikendalikan oleh sebuah syarikat tempatan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usaha itu dikendalikan oleh Commodities Global Trade Sdn. Bhd. (CGTSB) yang mendapat hak eksklusif platform e-dagang di bawah Bohai Commodity Exchange of China (Boce).

Katanya, hak itu akan membolehkan CGTSB menguruskan perdagangan global komoditi untuk memenuhi permintaan pasaran ASEAN dengan menjadikan Malaysia sebagai gerbang baharu untuk menembusi pasaran China.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menerusi usaha ini, Putrajaya kini menjadi salah satu daripada enam pejabat global yang beroperasi luar China, selain Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Ukraine dan Australia sekali gus menjadikan lokasi ini sebagai hub baharu perdagangan e-dagang di rantau ini.

“Kami menjangkakan sektor perdagangan akan terus menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia dan kami mengalu-alukan syarikat ini membuat kemajuan dan melaksanakan semua yang mereka janjikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran Platform Digital e-Dagang Bohai Commodity Exchange (Boce) Malaysia/ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan dasar perlindungan alam sekitar dan sosial yang baik.

Beliau berkata peningkatan produktiviti di semua peringkat, mempromosikan pelaburan berkualiti, memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan dan membantu peningkatan industri adalah antara ciri di bawah era Malaysia Baharu.

“Adalah penting bagi sektor perniagaan Malaysia untuk melangkaui sempadan dan meneroka lebih banyak peluang dan mengembangkan pasaran.

“Perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang ditandatangani oleh kerajaan telah membantu pasaran eksport syarikat tempatan,” katanya.

Beliau berkata, FTA telah membantu meningkatkan kelebihan daya saing negara di samping mengukuhkan keyakinan pelabur dan membina kemapanan ekonomi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini