KUALA LUMPUR 2 Mei – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah bersetuju untuk meringankan hukuman denda terhadap tujuh pasukan susulan kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Pentadbir Liga Malaysia itu, hari ini, Kuala Lumpur, Felda United, PDRM dan Pulau Pinang dikenakan pemotongan geran tahunan sebanyak 5 peratus manakala Melaka United, Sarawak dan Kelantan adalah 10 peratus.
Terdahulu, ketujuh-tujuh pasukan tersebut telah dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 dan diberikan tempoh kemukakan rayuan tujuh hari sehingga Selasa lalu.
“Keputusan pemotongan 5 peratus itu dibuat menerusi penilaian Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas pasukan-pasukan terbabit menyerahkan bukti pembayaran hutang, pelan pembayaran hutang tertunggak, pelan kewangan perbelanjaan dan pendapatan terperinci pada musim 2019.
“Manakala denda pemotongan jumlah geran ke atas Melaka United, Sarawak dan Kelantan pula dikenakan sebanyak 10 peratus. Ini kerana pasukan-pasukan terbabit masih belum melengkapkan surat pengesahan daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” menurut kenyataan media daripada MFL.
Tahun lalu 10 pasukan dikenakan pemotongan jumlah geran antara 17 hingga 30 peratus daripada 50 peratus selepas rayuan dibuat.
Bagaimanapun keputusan pemotongan denda jumlah geran kali ini lebih rendah berbanding musim lalu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL disebabkan faktor peralihan pucuk kepimpinan pengurusan yang mahu melakukan penstrukturan semula pasukan.
“Jika pasukan-pasukan terbabit masih mengulangi kesalahan yang sama pada musim depan, Ahli Lembaga Pengarah MFL akan mengenakan denda lebih tegas seperti hukuman yang dikenakan terhadap 10 pasukan pada tahun 2018,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, MFL menjelaskan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua musim 2019 bermula hari ini sehingga 29 Mei depan terhadap Sarawak dan Kelantan dikekalkan di mana kedua-dua pasukan terbabit telah mengulangi kesalahan kali kedua berturut-turut.
“Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan PDRM tidak dikenakan denda sekatan perpindahan pemain selepas pasukan terbabit telah menyelesaikan sebahagian tunggakan hutang serta menyediakan pelan pembayaran tunggakan hutang.
“Mereka juga tidak dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas mereka telah mengemukakan dokumen yang menunjukkan kestabilan kewangan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019, bukti serta dokumen jumlah tunggakan hutang yang telah diselesaikan,” katanya.
Begitupun, denda pemotongan sebanyak tiga mata akan diaktifkan ke atas Melaka United, Sarawak dan Kelantan sekiranya dokumen-dokumen tertentu masih tidak diserahkan sebelum atau pada 22 Mei depan.











