LABUAN 2 Mei – Sebagai sebahagian daripada pengiktiran dan menghargai sumbangan kelompok ini kepada masyarakat, Dorsett Grand Labuan hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari istimewa buat semua 27 ketua kampung di pulau bebas cukai ini.
Pengurus besarnya Masni Shaik Dali berkata inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel berkenaan kepada masyarakat.
“Ramadan yang menjelang tiba ini adalah bulan untuk menginsafi diri, menyumbang dan berkongsi, berbuat kebaikan, malah sumbangan semudah senyuman ikhlas juga boleh membuat banyak perbezaan,” katanya pada majlis makan tengah hari itu yang turut dihadiri ketua serta petugas pelbagai jabatan di Dorsett Grand Labuan.
“Saya percaya terhadap usaha-usaha untuk mewujudkan perjalanan hidup yang amat bermakna ini, bersama dengan pemimpin-pemimpin komuniti tempatan dan berikrar untuk terus bersama mereka di masa hadapan,” tambahnya.
Masni berkata pengurusan hotel telah merancang acara istimewa itu sejak beliau di lantik ke jawatannya tahun lepas.
“Kami merasakan ia satu idea yang baik, untuk menghargai pemimpin-pemimpin ini, yang telah bekerja keras walaupun telah berkeluarga, tetap gigih membantu masyarakat.
Semua ketua kampung itu jelas cukup teruja dan mengucapkan terima kasih dengan layanan hotel berkenaan, dan sebelum bersurai, mereka turut diberikan hadiah cendera hati sempena majlis yang julung kalinya diadakan itu. – BERNAMA











