MENOLAK tuduhan dia mengenali individu yang disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa. Penyanyi popular Khai Bahar berkata, gambar tular yang memperlihatkan dia bersama individu yang bergelar ‘Datuk Seri’ itu berlaku beberapa bulan lalu.
Menjelaskan secara terperinci, katanya, gambar itu dirakam semasa berada dalam majlis perbincangan untuk menjadi duta kepada sebuah produk, tambahnya, itu juga adalah kali pertama dia bertemu dengan usahawan yang dimaksudkan itu.
“Gambar berkenaan dirakamkan sekitar September lalu ketika sesi pertemuan dan perbincangan membabitkan pelantikan saya sebagai duta produk keluaran sebuah syarikat kosmetik. Ikutkan itu juga kali pertama untuk saya bertemu dengan individu yang dimaksudkan.
“Memang tahu gambar saya tular di laman sosial, cuma memang saya tidak kenal dengan individu terbabit dan aktiviti perniagaannya,” katanya.
Bercakap mengenai pelantikanya sebagai duta untuk syarikat kosmetik berkenaan, kata Khai, sehingga hari ini dia masih belum mendapat maklum balas jelas mengenai apa yang perlu dilakukan.
“Saya memang dilantik mewakili produk yang dikeluarkan syarikat, cuma belum diteruskan dengan sebarang komitmen buat masa ini.
“Sebagai duta saya hanya menjalankan tanggungjawab dan tidak terbabit dengan urusan lain,” jelasnya.
Ditanya pendiriannya berkaitan kontroversi ini, kata Khai, ini adalah pengalaman kali pertama untuknya. Mengakui perlu lebih berhati-hati, jelas penyanyi lagu Luluh ini dia menyerahkan segala keputusan kepada pihak peguam.
“Ikutkan saya tidak terkesan sebab memang tiada kena mengena dengan individu yang dimaksudkan. Cuma status sebagai duta dan komitmen saya untuk produk berkenaan masih dalam perbincangan, saya tidak tahu hanya melibatkan pengurus dan peguam sahaja.
“Cuma selepas ini saya akui perlu lebih berhati-hati dalam menerima apa-apa tawaran,” kongsinya lagi.
2020 tahun mencabar
Melihat apa yang berlaku sepanjang tahun ini, Khai akui ada yang melihat kerjayanya seperti kurang menyerlah. Menjelaskan apa yang berlaku ini tidak sekadar dilalui dirinya, Khai yakin untuk sentiasa positif.
“Rasanya tahun ini bukan saya sahaja yang melalui perkara yang sama. Dengan keadaan pandemik memang ramai yang terkesan, cuma buat masa ini kerjaya masih berjalan seperti biasa.
“Paling penting sokongan peminat adalah kekuatan untuk kerjaya seni saya. Tanpa mereka mungkin apa yang dilaluinya semakin sukar. Berlalu tahun ini, untuk tahun 2021 saya sedang merancang untuk mengeluarkan lebih banyak produk-produk yang berkualiti,” jelasnya.
Sementara itu, Khai kini dalam persediaan untuk menjayakan Konsert Inteam 20 Tahun. Selain Khai konsert ini juga akan turut menampilkan UNIC, Hijjaz, Zayne, Lah Ahmad dan Exists.
Konsert secara maya itu akan dipancarkan secara langsung dari Warisan Hall Studio Sijangkang, Selangor pada 12 Disember ini.










