KUALA LUMPUR 2 Mei – Kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menggambarkan keintelektualannya dalam hal ehwal Islam di negara ini dan wajar dihormati semua pihak termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pandangan itu dilontarkan oleh Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi yang menegaskan, Mohd. Asri lebih banyak terlibat dalam gerakan Islam dan sudah pasti lebih berpengetahuan dalam melihat serta menilai sendiri keselamatan Islam di negara ini berdasarkan ilmu agamanya.
“Mohd. Asri sebenarnya mengikut pesanan Dr. Mahathir kepadanya sebelum ini agar tidak takut menegakkan kebenaran. Jadi, inilah perkara yang beliau lakukan, tetapi apa yang berlaku apabila versi kebenaran yang dibawanya telah ditolak oleh Dr. Mahathir sehingga melabel mufti sebagai pekak.
“Sebenarnya, perlu ada sifat saling menghormati antara satu sama lain dan elakkan daripada label-melabel itu berlaku kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah yang terjadi dalam isu tersebut,” katanya kepada Utusan Online.
Beliau mengulas mengenai situasi saling berbalas kenyataan antara dua tokoh utama negara berhubung isu Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat yang dibangkitkan oleh Mohd. Asri pada awalnya.
Isu itu timbul berikutan penularan video pendakwah, Mohd. Zamri Vinoth Kalimuthu yang menceritakan pengalamannya sebelum memeluk Islam di sebuah masjid di Kelantan sehingga ditahan sepasukan polis.
Mengulas lanjut, Awang Azman menyeru, kedua-dua tokoh pemimpin itu melihat perbezaan pandangan sebagai alternatif mencari jalan terbaik dalam memastikan kepentingan Islam terus terpelihara.
“Inilah episod atau perkembangan baru hubungan mereka yang selama ini dilihat baik dan kini sudah kelihatan retak.
“Sudah pasti cerita rakyat mengenai The Naked Emperor perlu dihayati dan era kerajaan mengetahui semua benda sudah lama berakhir dan perlulah disedari segera,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











