KUALA LUMPUR 2 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak memberi penjelasan terhadap keputusan menurunkan kadar levi lanjutan bagi pekerja asing yang masih belum dilaksanakan sehingga kini.
Malah Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, penurunan tersebut yang masih belum dilaksanakan juga menimbulkan persoalan sama ada wujudnya percanggahan dalam kalangan agensi berkaitan.
Katanya, penetapan kadar lama itu yang sepatutnya dilaksanakan Mac lalu turut menunjukkan seolah-olah kerajaan PH tidak membuat pemantauan terhadap pelaksanaan dasarnya.
“Jabatan Imigresen telah mengesahkan levi lanjutan RM10,000 sehingga kos baharu diwartakan dan tidak ada pulangan levi sebelum itu. Kerajaan PH mesti menjelaskan mengapa dasar yang diperoleh daripada keputusan Kabinet tidak dilaksanakan dan kini sudah dua bulan lambat.
“Kelewatan ini telah menyebabkan kekeliruan, tidak puas hati dan tekanan kepada pelbagai sektor perniagaan. Mengapa mereka begitu cekap apabila memutuskan menaikkan levi, tetapi bersikap di sebaliknya apabila mahu menurunkan levi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, kerajaan bersetuju kadar levi lanjutan bagi pekerja asing diturunkan buat sementara waktu untuk tempoh setahun berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Kadar levi itu menyaksikan penurunan RM1,500 hingga RM4,000 bagi lima sektor iaitu pembuatan, perkhidmatan (restoran/pembersihan), pembinaan, pertanian dan perladangan.-UTUSAN ONLINE.











