PENDANG 2 Mei – Penahanan dua orang dalam yang bekerja sebagai juruteknik berjaya membongkar kegiatan satu sindiket mencuri bateri gantian pencawang sebuah syarikat telekomunikasi, yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM400,000, bulan lalu.
Kerugian itu membabitkan kehilangan sebanyak 190 unit bateri di pencawang-pencawang telekomunikasi syarikat tersebut di seluruh negeri ini yang bernilai RM200,000.
Manakala bakinya pula iaitu kos yang terpaksa ditanggung syarikat itu untuk pemasangan semula kesemua peralatan tersebut nanti.
Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, berdasarkan siasatan, seorang daripada juruteknik berusia 30-an yang ditahan itu, merupakan dalang kepada jenayah tersebut yang melibatkan seramai lapan orang ahli.
Katanya, daripada jumlah suspek itu, enam orang merupakan warga Pakistan yang kesemuanya berusia 22 tahun hingga 50-an.
“Modus operandi sindiket itu adalah untuk mencuri bateri-bateri ini yang berharga RM1,000 seunit untuk diambil plumbum di dalamnya.
“Komponen itu kemudian akan dijual ke Pakistan pada harga antara RM3 hingga RM5 sekilogram dengan menggunakan kontena,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.
Menurut Zainuddin, pembongkaran kes tersebut adalah berdasarkan laporan awal kecurian bateri gantian pencawang yang diterima daripada syarikat itu pada 11 April lalu.
Katanya, berikutan itu, siasatan telah dijalankan sebelum menahan dua juruteknik syarikat tersebut di Kubang Pasu dekat sini, sebelum disusuli dengan enam yang lain di beberapa lokasi di negeri ini termasuk pembeli bateri berkenaan di ibu negara.
“Pada masa sama, polis turut menyerbu sebuah gudang di Pulau Pinang yang disewa sindiket ini, digunakan untuk menyimpan bateri-bateri berkenaan,” katanya lagi.
Tambah beliau, turut dirampas dua buah trak pikap yang digunakan dalam kes itu untuk mengangkut bateri-bateri gantian pencawang yang kebiasaannya terletak di kawasan pedalaman.
Katanya, kesemua suspek direman sehingga 4 Mei ini untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE











