MARANG 2 Mei – Sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Marang (SKM) atau SMarT di pekarangan sekolah berkenaan
pagi ini berlangsung dalam suasana cukup meriah.
Berkonsepkan Retro 1960-an, sambutan kali ini diserikan dengan beberapa acara menarik melibatkan warga pendidik,
pelajar dan juga Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG).
Malah pendekatan baharu yang cuba ditampilkan sempena perayaan Hari Guru tahun ini sedikit berbeza berbanding
tahun-tahun sebelum ini.
Antara acara yang menarik perhatian ramai ialah gandingan guru dan PIBG sekolah dengan persembahan nyanyian lagu-
lagu nostalgia Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Saloma.
Tidak ketinggalan menunjukkan bakat ialah Guru Besar SMarT, Mazlan Sulong dan Naib Yang Dipertua PIBG sekolah itu,
Othman Mohd.
Yang turut hadir ialah Yang Dipertua PIBG, Datuk Mohd. Fuzai Datuk Mohd. Rahim.
Selain itu, bagi merapatkan hubungan antara PIBG dan guru, acara istimewa iaitu `bekwoh’ Sekolah juga diadakan di
mana penyediaan masakan gulai kawah dijayakan oleh wakil PIBG dan ibu-bapa pelajar.
Selain itu, sempena sambutan Hari Guru tahun ini juga guru-guru SMarT dan AJK PIBG turut menjayakan pertandingan
boling yang diadakan di Arena Boling PB Square pagi semalam. – UTUSAN ONLINE











