Semenjak zaman Nabi Allah Lut a.s lagi, tarikan seksual terhadap kaum sejenis sudah menular. Kaum Nabi Lut telah diberitahu oleh Baginda bahawa tarikan seksual terhadap kaum sejenis adalah perbuatan keji yang belum pernah lagi dilakukan oleh manusia mahupun jin sebelum kaum Baginda.
Allah memberi peringatan menerusi firman-Nya yang bermaksud: (Ingatilah kisah Nabi) Lut tatkala Baginda telah bersabda kepada kaum Baginda: Adakah kalian mendatangi perbuatan keji yang tidak ada seorang pun daripada penduduk alam yang telah mendahului kalian dalam melakukannya?! Sesungguhnya kalian telah mendatangi orang-orang lelaki secara bersyahwat tanpa (kalian bersyahwat pula kepada) wanita. Bahkan kalian adalah satu kelompok yang melampaui batas. (al-A’raaf: 80-81)
Namun nasihat Baginda tidak diendahkan sehingga mereka akhirnya dibinasakan oleh Allah dengan azab yang sangat dahsyat. Sekalipun azab telah diturunkan, perbuatan keji ini telah jauh menular manusia zaman-berzaman sehingga ke hari ini.
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perbuatan yang paling saya takuti antara perbuatan-perbuatan yang saya takuti (menimpa) ke atas umat saya adalah perbuatan kaum (Nabi) Lut. (Riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Rasulullah SAW juga telah menggunakan istilah ‘laknat’ kepada pelaku homoseksual yang menunjukkan bahawa perbuatan keji ini adalah satu dosa besar. Baginda bersabda: Dilaknat sesiapa sahaja yang telah memaki ayahnya. Dilaknat sesiapa sahaja yang telah memaki ibunya. Dilaknat sesiapa sahaja yang telah menyembelih bukan kerana Allah. Dilaknat sesiapa sahaja yang telah mengubah persempadanan bumi (bagi tanah Haram). Dilaknat sesiapa sahaja yang telah membutakan orang yang buta daripada jalan. Dilaknat sesiapa sahaja yang telah jatuh ke atas binatang (iaitu menyetubuhi binatang). Dilaknat sesiapa sahaja yang telah melakukan amalan kaum (Nabi) Lut. (Riwayat Ahmad)
ANGKA MEMBIMBANGKAN
Keterujaan seksual sesama jenis di Malaysia adalah ancaman yang makin menakutkan. Laporan HIV pada 2018 menunjukkan bahawa daripada 3,293 kes HIV di Malaysia, 94 peratus adalah berpunca daripada hubungan seks yang 57 peratus daripadanya pula disebabkan hubungan sejenis manakala 37 peratus yang berbaki disebabkan hubungan seks berlainan jenis.
Angka yang membimbangkan ini jelas menghebahkan bahawa homoseksual adalah punca paling utama HIV pada tahun 2018 iaitu mewakili 53.58 peratus daripada keseluruhan kes. Ini bermakna daripada 3,293 kes HIV, sebanyak 1,764 kes adalah disebabkan homoseksual.
Ini berbeza bagi tahun 2010 yang menunjukkan bahawa seks songsang hanya menyumbang 8 peratus kepada penularan HIV manakala pada tahun 1990 pula, tiada kes HIV sama sekali yang berpunca daripada homoseksual.
Timbalan Pengarah Keluarga, Sosial dan Pembangunan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Mohd Izwan Md. Yusof pada Oktober 2018 pula mendedahkan bahawa jumlah golongan gay pada tahun 2018 dianggarkan berjumlah 310,000 orang berbanding tahun 2013 yang mencatat angka seramai 173,000 orang.
HOMOSEKSUAL DALAM MEDIA SOSIAL
Golongan remaja khususnya sangat terdedah dengan barah seks songsang melalui perantaraan media sosial. Lebih menyedihkan lagi, terlalu ramai golongan songsang di Malaysia yang berani mendedahkan aktiviti seks mereka di laman sosial. Rata-rata mereka yang aktif menyebarkan perbuatan keji mereka di twitter contohnya memiliki follower tidak kurang 10,000 ke 130,000 orang.
Mereka tidak malu lagi menyiarkan gambar-gambar porno termasuk gambar mereka sendiri. Video sodomi mereka, oral seks dan onani juga sudah berlambak-lambak dikongsi di media sosial. Kisah-kisah seks songsang mereka juga ditulis untuk menghairahkan para pembaca.
Ada juga yang mengambil kesempatan dengan menjual video-video seks songsang bahkan ada juga yang menawarkan khidmat urutan berserta aktiviti seks songsang kepada pelanggan yang sanggup membayar khidmat seks. Melalui media sosial yang tidak terhalang, mereka mudah berkenalan sesama mereka lalu melakukan aktiviti songsang di hotel dan rumah sewa.
Rata-rata mereka yang terlibat dalam dunia seks songsang mempunyai sejarah hitam di asrama. Mereka pernah diraba, dipaksa melakukan oral seks dan disodomi oleh senior, rakan sebaya bahkan ada juga guru yang sanggup merosakkan kehormatan pelajar sendiri. Akhirnya bermula daripada dibuli, mangsa menjadi ketagih lalu terus-menerus hanyut dalam dunia songsang dan akan menularkan pula kesongsangan keji ini kepada orang lain.
PENYAKIT SANGAT BAHAYA
Sebahagian golongan songsang tidak memiliki sama sekali ketertarikan seks kepada yang berlainan jantina. Masa depan golongan ini sangat suram kerana mereka tidak dapat hidup normal seperti orang lain yang mempunyai keluarga dan anak-anak. Sekalipun ada juga yang berkahwin atas permintaan keluarga, rumahtangga yang dibina hanyalah kesepian dan neraka bagi pasangan hidup mereka.
Bagi golongan biseksual pula, sekalipun mereka dapat melakukan hubungan kelamin bersama pasangan hidup mereka, rumahtangga yang dibina biasanya tidak akan dapat kekal lama apatah lagi setelah naluri songsang mereka terdedah.
KEMBALI KEPADA TUNTUAN ISLAM
Kepatuhan kepada Allah dan rasul-Nya adalah kunci paling utama bagi penyelesaian gejala songsang. Masyarakat khususnya golongan muda wajib diterapkan dengan unsur-unsur kesufian agar mereka sentiasa sedar bahawa hanya ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya sahaja dapat menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.
Pelaksanaan hukum-hakam syarak dalam kehidupan seharian seperti tidak berseluar pendek apatah lagi berbogel di hadapan golongan sejantina, tidak menonton atau memuatnaik video lucah, tidak beronani, menundukkan pandangan daripada melihat lelaki yang berwajah kacak (amrod), tidak tidur sekatil dengan rakan sejantina dan tidak hanya berdua-duaan dengan lelaki kacak di tempat yang sunyi adalah sangat penting bagi membentengi diri daripada terjebak ke dalam dunia songsang.
Oleh kerana asrama adalah antara penyebab utama penyebaran gejala songsang, maka sistem kehidupan di asrama perlu diperhalusi semula agar asrama tidak menjadi lubuk barah ini.
Pemasangan CCTV di kawasan-kawasan yang berpotensi menjadi lokasi maksiat golongan songsang perlu di sekolah-sekolah berasrama.
Kerajaan perlu tegas mengambil tindakan kepada pemilik media sosial yang menghebahkan seks songsang. Dengan ketegasan, ia pasti akan dapat mengendurkan golongan ini. Membiarkan mereka terus mengiklankan budaya keji ini kepada masyarakat hanya akan menjahanamkan diri mereka dan generasi akan datang. Menyelamatkan golongan songsang adalah tanggungjawab kita semua.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










