DUNGUN – Seorang pekerja swasta maut selepas motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan di Kilometer 331.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.50 malam itu, Mohamad Nanshah Nornashriq Mohd. Rosnan, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Nanshah Nornashriq dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Terengganu setelah bercuti bersama rakan-rakannya ke Temerloh, Pahang sempena cuti Hari Pekerja.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha 125Z yang dinaikinya hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan. Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh beberapa meter.
“Rakan-rakannya yang menunggang motosikal masing-masing jauh di hadapan kemudiannya menyedari insiden menimpa mangsa sebelum berpatah balik,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE











