KUALA LUMPUR 2 MEI – Pencarian bakat baharu dan pelapis jaguh atlet diteruskan melalui Karnival Sukan Remaja Terbuka Petaling Jaya 2019 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 26 April lalu.
MBPJ dalam satu kenyataan memberitahu, karnival yang dianjurkan selama tiga hari itu mempertandingkan pelbagai acara sukan seperti futsal, badminton, hoki, tenis dan takraw.
“Seramai 4,019 remaja bawah 18 tahun, pelajar sekolah dan kelab sukan dari seluruh negara menyertai karnival berkenaan.
“MBPJ selaku penganjur sentiasa berusaha untuk membantu meningkatkan pembangunan sukan remaja bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam pelbagai acara sukan selain dapat meningkatkan jati diri dalam kalangan remaja,” kata kenyataan itu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











