Mayat bayi berulat ditemukan - Utusan Malaysia

Mayat bayi berulat ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 2 Mei – Mayat seorang bayi yang cukup sifat ditemukan dalam keadaan sudah berulat berhampiran kawasan semak di tepi jalan di Kampung Dato Syed Nahar, Kuah di sini, hari ini.

Mayat bayi di dalam plastik sampah berwarna hitam itu ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira lima meter dari jalan bertar pada pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan tentang penemuan objek berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mengikut keterangan, wanita itu memaklumkan telah menyedari bungkusan plastik tersebut di tepi jalan sejak tiga atau empat hari lepas.

“Dia tidak menghiraukannya kerana menyangkakan ia hanyalah berisi sampah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kata beliau, pengadu itu walau bagaimanapun berasa curiga apabila terhidu bau busuk yang datang daripada bungkusan plastik berkenaan sebelum membukanya.

“Wanita itu kemudian memaklumkannya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurut Mohd. Iqbal, jantina dan umur bayi tersebut tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat yang dipenuhi ulat.

“Tiada dokumen lain ditemukan di lokasi kejadian dan mayat bayi akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini