SEBELUM memulakan perlawanan gasing moden Beyblade, Lucas Ma, 13, memeriksa kelengkapannya terlebih dahulu bagi mengelakkan permainannya terganggu.
Lucas memeriksa satu persatu peralatan itu dengan teliti dan mencubanya terlebih dahulu sebagai persediaan terakhir sebelum perlawanan.
Sebaik sahaja pengacara perlawanan meniup wisel, dia terus merentap penarik dengan kuat supaya Beybladenya berpusing laju dalam tempoh yang lama.
Ternyata tuah menyebelahi Lucas apabila pada pusingan akhir perlawanan itu, Beyblade kepunyaannya berjaya menyingkirkan Beyblade pesaing sehingga tercampak ke luar gelanggang.
Lantas, lokasi tersebut bergema dengan sorakan dan tepukan pengunjung.
Sejurus selesai perlawanan tersebut, juri mengumumkan pelajar tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist Sentul, Kuala Lumpur itu sebagai juara Pusingan Kelayakan Malaysia Kejohanan Beyblade Asia 2019 yang berlangsung di pusat beli-belah The Starling, Petaling Jaya, Selangor pada 21 April lalu.
Lucas mula mengenali Beyblade ketika usia tiga tahun selepas menyaksikan aksi-aksi dalam siri animasi Beyblade yang ditayangkan di kaca televisyen ketika itu.
“Tambahan pula abang saya juga sukakannya dan dia mencadangkan untuk meminta ayah membelikan permainan itu untuk kami.
“Bermula daripada situ, minat saya semakin hari semakin bercambah. Pantang ada masa terluang, saya akan bermain bersama abang,” katanya kepada K2 ketika ditemui selepas perlawanan.
Kejayaan Lucas dalam pertandingan tersebut telah melayakkannya mewakili Malaysia dalam pertandingan Kejohanan Beyblade Asia 2019 anjuran pengeluar permainan terkemuka dari Jepun, Takara Tomy yang akan berlangsung di Seoul, Korea Selatan pada 26 Mei depan.
Selain itu, Lucas turut menerima set Beyblade versi emas edisi terhad, hamper, medal dan dua tiket penerbangan berserta penginapan ke Seoul, Korea Selatan yang ditanggung oleh penganjur.
Tambah Lucas, dia pernah menyertai beberapa pertandingan Beyblade sebelum ini, namun ini merupakan kali pertama bergelar juara.
Permainan gasing Beyblade suatu ketika dahulu pernah menjadi kegilaan kanak-kanak kelahiran era 1990-an sebelum ia kembali sunyi buat seketika.
Pelbagai warna
Pada ketika itu, permainan itu sangat popular sehingga ada yang menjadikan kuali memasak sebagai medan pertempuran bersama rakan-rakan.
Mereka turut mempunyai beberapa set Beyblade yang terdiri daripada pelbagai warna, bentuk dan saiz.
Pada sebelah petang, pasti kelihatan kanak-kanak sedang berkumpul sambil menguji kekuatan Beyblade masing-masing.
Pengenalan permainan gasing Beyblade bermula daripada siri manga Bakuten Shoot Beyblade yang dikeluarkan Jepun bermula September 1999 sehingga Julai 2014.
Cara bermainnya adalah dengan memasang Beyblade pada pelancar sebelum dilepaskan dengan merentap penarik.
Beyblade dimainkan secara berlawan atau berlaga dengan Beyblade lain sehingga tinggal satu sahaja yang masih berpusing.
Sejak itu, beberapa siri animasi turut dikeluarkan seperti Beyblade V-Force, Beyblade G-Revolution dan Beyblade Rising. Siri terbaharu ialah Beyblade Burst yang sedang ditayangkan di saluran TV3 dan Astro Disney.
Siri tersebut menjadi pencetus kepada minat kanak-kanak terhadap permainan Beyblade pada masa kini.
Di pasaran, deretan model-model Beyblade dengan pelbagai warna, saiz dan rekaan ada dijual di mana-mana.
Bagi yang baru sahaja berjinak-jinak dengan permainan tersebut, mereka boleh mendapatkannya pada harga serendah RM64.90 bagi set original keluaran Takara Tomy. Bagi set edisi terhad, ia boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.
Juara dunia
Mereka yang berminat untuk membeli boleh mendapatkannya di kedai-kedai yang terdapat di pusat beli-belah seperti Toys ‘R’ Us, Aeon, Hamleys, Isetan, Parkson atau platform e-dagang Lazada.
Kebiasaannya dalam satu set itu terdapat sebiji Beyblade, pelancar dan seutas penarik, manakala keperluan seperti gelanggang selalunya dijual berasingan.
Mengambil kesempatan itu, beberapa pihak turut tampil menganjurkan pertandingan Beyblade yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan dan antaranya ialah Syarikat Litt Tak (Litt Tak) Sdn. Bhd. yang juga merupakan pengedar bagi produk Beyblade Takara Tomy di Malaysia.
Litt Tak juga merupakan pihak yang bertanggungjawab menguruskan Pusingan Kelayakan Malaysia Kejohanan Beyblade Asia 2019.
Menurut Penolong Pengurus Pemasaran Litt Tak, Tan Siew Fun, pertandingan Beyblade kini bukan sahaja terhad dalam kelompok kecil semata-mata tetapi telah berkembang sehingga ke peringkat dunia.
“Pada November tahun lalu, pertandingan Beyblade peringkat dunia telah berlangsung di Paris, Perancis, manakala pertandingan peringkat Asia ini pula telah memasuki tahun ketiga.
“Malah, setiap pertandingan itu pula menyajikan hadiah yang sangat lumayan,” ujarnya.
Pada kejuaraan dunia itu, gelaran juara telah dianugerahkan kepada wakil dari Latvia iaitu sebuah negara di timur laut Eropah yang menggelarkan dirinya sebagai Balanced Defender.
Beliau telah berjaya membawa pulang sebuah trofi, pingat dan paling istimewa ialah lukisan ilustrasi peribadi yang dihasilkan oleh pengarang siri manga Beyblade Burst sendiri iaitu Hiro Morita daripada Corocoro Comic.
Tambah Siew Fun, Beyblade boleh dikatakan sebagai evolusi kepada permainan gasing tradisional dan yang membezakannya hanya teknologi.
Setiap Beyblade mempunyai keistimewaan masing-masing dari aspek pertahanan, serangan dan stamina.
Beyblade boleh dikatakan sebagai gasing moden yang canggih kerana para pemain perlu bijak dalam menggabungkan dan menyesuaikan bahagian-bahagian supaya menjadi sebuah Beyblade yang kukuh.
Ujar Siew Fun, Beyblade bukan sahaja sesuai dimainkan untuk golongan kanak-kanak, malah disukai golongan dewasa.
“Jika di rumah, kanak-kanak bermain bersama ahli keluarga yang lain dan adakalanya ibu bapa mereka turut serta.
“Justeru, pertandingan Beyblade peringkat terbuka, ramai orang dewasa mendaftarkan diri,” katanya.
Menabung
Sementara itu, pemenang tempat ketiga Pusingan Kelayakan Malaysia Kejohanan Beyblade Asia 2019 , Muhammad Hadeef Mohd Rosli, 12, juga kali pertama menyertai pertandingan Beyblade.
“Sebelum ini, saya bermain bersama adik dan rakan-rakan sahaja sebelum terbaca mengenai pertandingan ini di laman sosial.
“Apabila saya menyatakan hasrat untuk menyertai pertandingan tersebut, ayah terus bersetuju memandangkan ia berlangsung pada hari minggu,” ujarnya.
Tambah Muhammad Hadeef, pada mulanya dia hanya membeli permainan Beyblade yang dijual di pasar malam kerana harganya yang murah sebelum mengumpul duit bagi membeli set permainan original.
“Selain menggunakan duit hasil menabung, ada juga yang dihadiahkan oleh ayah. Kebanyakan set yang saya miliki berharga di antara RM50 hingga RM150.
“Kini saya mempunyai lebih daripada 10 set Beyblade dan bagi menambahkan kekuatannya, saya mengujinya dengan menukar bahagian-bahagian tertentu,” katanya.











