KUALA TERENGGANU 1 Mei – Meskipun pertarungan suku akhir pertama Piala FA antara Terengganu FC (TFC) menentang Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam ini berkesudahan dengan kemenangan 2-1 tuan rumah namun kelebihan ternyata berpihak kepada Tok Gajah.
Pahang yang turun selaku penyandang juara Piala FA musim lalu, boleh tidur lena apabila mendapat bekal selesa berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan sebelum kedua-dua pasukan bakal berentap dalam suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan,10 Mei ini.
Pada mulanya ketika tuan rumah mendahului 2-0 ke atas pelawat, skuad Penyu bimbingan Irfan Bakti Abu Salim hampir membuatkan Pahang pulang hampa malam ini.
Lebih 10,000 penonton tuan rumah teruja meraikan gol sulung TFC yang hadir di minit ke 9 babak pertama perlawanan hasil gerakan kapten pasukan, Lee Tuck yang melorongkan bola kepada Abdul Malik Mat Ariff sebelum penyerang tuan rumah meletakkan Penyu di hadapan.
Dengan kelebihan satu gol, anak buah Irfan Bakti tidak mudah berputus asa malah terus mengasak ke kubu lawan namun berjaya dihalang tonggak pertahanan Tok Gajah, Herold Geloun.
Pada minit ke 26, cubaan Herold Goulon mengumpan bola pada penjaga golnya Mohd. Helmi Eliza Elias mengundang padah apabila lerekan itu disambar oleh Kipre Tchetche untuk gol kedua TFC dan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua bermula lebih rancak dengan asakan pasukan Tok Gajah untuk merapatkan jurang sehingga ke minit ke 57, Mathew Davies berjaya mencuri peluang daripada kesilapan penjaga gawang Terengganu, yang gagal mendakap kemas rembatan import Pahang, Jose Eduardo sebelum dikuis masuk oleh Mathew.
TFC sekali lagi cemas dengan tandukan penyerang Tok Gajah, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang sedikit tersasar meskipun dalam situasi hanya satu lawan satu dengan penjaga gol tuan rumah.
Kedua-dua pasukan saling memburu jaringan sehingga ke minit-minit terakhir perlawanan dengan keputusan muktamad Terengganu menang 2-1. – UTUSAN ONLINE











