NEW YORK 1 Mei – Penyelidik dari Universiti Miami yakin model rantaian Markov yang dibangunkan mereka dapat membantu mengecilkan kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Lapor Mirror Online, kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Philippe Miron berkata, model itu dibangunkan menggunakan kaedah matematik berdasarkan data satelit di kawasan penemuan serpihan pesawat itu.
Menjelaskannya, Miron berkata, hasil kajian itu adalah daripada analisis satelit mengikut pergerakan boya di laut.
Boya itu diletakkan pada grid maya bagi membuat simulasi kedudukan serpihan pesawat yang terapung.
Bagaimanapun katanya, memandangkan hanya sebilangan kecil serpihan ditemui, maka model itu tidak boleh dianggap tepat sepenuhnya.
Miron memberitahu, adalah menghairankan selepas lebih daripada tiga tahun, hanya sebahagian kecil serpihan pesawat yang ditemui dan ini meningkatkan kemungkinan berlakunya kesilapan model itu.
“Kita membangunkan tiga model berasingan ekoran terdapat beberapa variasi cuaca di Lautan Hindi dan monsun perairan itu mempunyai kesan penting kepada kawasan berkenaan,” jelasnya.
Secara keseluruhannya, kata beliau, model berkenaan menunjukkan nahas pesawat itu berlaku di latitud 33 hingga 17 darjah ke selatan sepanjang lengkuk terakhir imej satelit dikesan.
Menurut penyelidik, kedudukan pesawat itu dipercayai lebih ke arah utara daripada kawasan tumpuan pencarian MH370.
Kumpulan penyelidik itu berharap penemuan mereka akan membantu misi pencarian pesawat terbabit pada masa hadapan. – AGENSI











