FRIM bantu program penanaman pokok mega - Utusan Malaysia

FRIM bantu program penanaman pokok mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sentiasa mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam usaha pemulihan hutan dan biodiversiti di negara ini.

Dengan kira-kira 50 peratus kawasan di negara ini dilitupi hutan, semua pihak wajar berganding bahu memastikan kelestarian alam terpelihara termasuk menerusi pemuliharaan hutan.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan sektor swasta dalam penanaman semula hutan serta projek-projek pengayaan biodiversiti dalam usaha mencegah kepupusan spesies flora yang berharga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Projek Plant-A-Tree’ di Estet Jentar, Pahang baru-baru ini yang melibatkan Sime Darby Plantation (SDP) untuk mengenal pasti dan menanam spesies tumbuhan hutan yang terancam dan jarang ditemukan bagi tujuan pemuliharaan.

“FRIM gembira dapat bekerja sama dengan SDP dalam pemuliharaan ex situ (persekitaran sebenar) spesies pokok hutan yang terancam dan jarang ditemukan di Jentar Estate,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM, Dr. Lillian Chua.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Huluan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha; Ahli Majlis Pentadbiran Yayasan Sime Darby, Caroline Christine Russell dan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Samsu Anuar Nawi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SDP atas usaha penubuhan, pengurusan, pemantauan dan penggunaan bukan komersial spesies tumbuhan hutan terancam dan jarang ditemukan secara ex situ .

FRIM kata beliau, menyumbang sejumlah 188 anak benih daripada 20 spesies Dipterokarpa untuk penanaman di tapak Bukit Pasir. Antaranya, enam spesies yang amat terancam (CR), empat terancam (EN), lima terdedah kepada ancaman (VU) dan satu jarang ditemukan (RA).

FRIM dan SDP telah menjalankan kajian flora di Bukit Kiab manakala ahli zoologi FRIM menjalankan beberapa kajian pemantauan fauna di Bukit Angin, Bukit Kiab dan Bukit Pasir.

FRIM kata Abd. Latif, menerajui usaha pemuliharaan tumbuhan negara serta memainkan peranan penting dalam pemuliharaan kelip-kelip dan pemulihan habitatnya di Kampung Kuantan, Selangor.

FRIM juga merupakan pusat rujukan untuk dokumentasi biodiversiti Malaysia. Sebagai contoh, Herbarium Kepong menempatkan kira-kira 300,000 spesimen dengan lebih 770 spesimen tip serta berfungsi sebagai pusat rujukan negara.

“Kami juga mengetuai beberapa projek floristik kebangsaan termasuk Tree Flora of Malaya (TFM), Tree Flora of Sabah dan Sarawak (TFSS) dan Flora of Peninsular Malaysia (FPM) untuk mendokumentasikan kekayaan biodiversiti flora negara,” ujarnya.

FRIM juga menjalankan penilaian status pemuliharaan terhadap spesies tumbuhan.

Penilaian terhadap Dipterokarpa pada 2010 menunjukkan bahawa 92 spesies di Semenanjung berada dalam golongan kategori terancam.

Justeru, usaha-usaha konservasi in situ dan ex situ sedang dijalankan dengan beberapa pihak yang berkepentingan dalam memulihara dan mencegah kepupusan spesies.

Sebagai contoh, FRIM sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi memelihara Shorea hemsleyana (meranti daun besar) yang amat terancam di kawasan hutan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan UTP di Seri Iskandar, Perak.

FRIM menyumbang kepada penubuhan Hutan Bernilai Konservasi Tinggi (HCVF) bagi melindungi spesies terancam yang terpilih.

Contohnya, HCVF di Hutan Simpan Kledang Saiong untuk perlindungan Vatica abdulrahmaniana, yang dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan HCVF di Hutan Simpan Kanching, Selangor untuk melindungi merawan kanching (Hopea subalata) yang amat terancam serta hiper endemik.

Kampus FRIM di Kepong juga merupakan tapak konservasi ex situ melibatkan 73 spesies terancam telah ditanam dengan antaranya 66 adalah Dipterokarpa.

Sebagai testimoni, Malaysia melalui usaha kerjasama FRIM dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum ini telah memenangi anugerah emas kerana mempunyai Clearing House Mechanism yang terbaik.

Anugerah ini disampaikan ketika Konvensyen Kepelbagaian Biologi kerana Malaysia merupakan ahli yang aktif. Clearing House Mechanism bertujuan memudahkan pemindahan maklumat mengenai kepelbagaian biologi dan pemuliharaannya.

MyBIOD yang merupakan pangkalan data FRIM mempunyai pautan ke pangkalan data biodiversiti, koleksi spesimen, direktori sumber, individu, agensi kerajaan dan kementerian.

Dokumen yang berkaitan dengan dasar kebangsaan serta laporan kebangsaan perjanjian alam sekitar pelbagai pihak juga terdapat di situ.

Dalam ucapannya itu juga beliau berkata, tahap kesedaran awam semakin meningkat dan terdapat inisiatif yang lebih besar untuk mengenengahkan biodiversiti dalam perancangan peringkat kebangsaan dan negeri.

“FRIM akan terus memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan untuk mencegah kepupusan spesies.

“Kita harus mengelakkan penambahan spesies tumbuhan kepada senarai pupus yang kini merangkumi spesies meranti damar hitam (Shorea kuantanensis) dan tumbuhan herba asam batu (Begonia eiromischa), ‘‘ ujarnya.

Justeru untuk terus melindungi aset negara dan warisan semula jadi, beliau berkata, FRIM mengalu-alukan kerjasama dengan organisasi yang mempunyai matlamat sama dalam memastikan pemuliharaan dan kemapanan hutan serta kekayaan biodiversiti.

Sementara itu bercakap kepada pemberita kemudian, Lillian berkata, sebagai sebuah negara yang berada dalam kedudukan ke-12 dari segi kepelbagaian biologi , maka sewajarnya inisiatif pemuliharaan hutan perlu digerakkan.

“Dalam hal ini saya melihat peranan swasta amat besar untuk membantu ke arah itu dengan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 dan agenda tempatan,” katanya.

Beliau berkata, spesies yang dipilih dalam program tersebut adalah berdasarkan kriteria dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) yang merupakan kriteria global dalam menyenarai ciri-ciri spesies sama berada dalam sembilan kategori tertentu sama ada terancam, sangat terancam dan sebagainya.

SDP utamakan pemuliharaan

Sebagai warga korporat bertanggungjawab, Sime Darby Plantation (SDP) berpendapat sebarang perniagaan harus dilaksanakan dalam persekitaran lestari dan menyumbang kepada dunia yang lebih baik.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Huluan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha, projek Jentar, Plant- A- Tree dilaksanakan dengan matlamat meningkatkan habitat semula jadi dan menambah kepelbagaian biologi dalam jangka panjang.

“Hari ini kami berbangga membuktikan usaha kami dalam membantu proses perhutanan semula bagi tujuan pemuliharaan dan pengayaan hutan warisan kita,” ujarnya.

Projek tersebut terletak di kawasan berhampiran Hutan Simpan Hidupan Liar Krau yang berfungsi sebagai arboretum pokok hutan semula jadi dan spesies terancam, jarang ditemukan dan sangat terancam (ERT).

Usaha tersebut berpotensi memberi manfaat kepada eksosistem persekitaran dan menjadi penghubung antara hidupan liar dan habitat serta menjadi platform bagi penyelidik, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan untuk tujuan penyelidikan.

“Selaras dengan Kempen Sayangkan Sawit Malaysia kami percaya adalah penting bagi pemain industri menunjukkan komitmen kepada tiada penebangan hutan tetap bertanya kepada diri sendiri bagaimana menjadi sebahagian penyelesaian kelestarian,’’ kata Ketua Pegawai Kelestarian SDP, Dr. Simon Lord.

SDP Jentar Plant- A – Tree Yayasan Sime Darby merupakan cabang yang menjalankan tanggungjawab sosial syarikat berkenaan menyediakan dana RM4.1 juta bagi projek berkenaan selama 10 tahun 10 bulan sejak Mac 2013.

Keseluruhan kawasan dibangunkan meliputi tiga bukit iaitu Bukit Angin (72 hektar), Bukit Kiab (65 hektar) dan Bukit Pasir berkeluasan 23 hektar.

Kawasan tersebut dipilih kerana mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi dan kehadiran tiga spesies endemik berhampiran dengan Hutan Simpan Hidupan Liar Krau selain mempunyai sumber air yang akan menyumbang kepada penjanaan koridor habitat dan hutan baharu.

Sementara itu Caroline Christine Russel berkata, pihaknya berbangga terlibat dalam pemulihaan kepelbagaian biologi yang selaras dengan objektif utama yayasan dalam pemuliharaan ekosistem kesedaran dan pembangunan lestari.

“Selama kira-kira satu dekad yayasan bekerjsama dengan SDP dan rakan lain menanam kira-kira 1.5 juta pokok.

“Kami tidak dapat menyempurnakan semua ini tanpa sokongan dedikasi dan komitmen ke arah perlindungan alam sekitar,” ujarnya. – LAUPA JUNUS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini