Jangan biar industri mati - Sara Ali - Utusan Malaysia

Jangan biar industri mati – Sara Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedar akan kehadiran semakin ramai bakat baharu dalam dunia seni, namun ia tidak pernah membuatkan pelakon Sara Ali berasa gentar untuk terus bersaing.

Malah, dia cukup teruja melihat perkembangan ini dan menanti siapa dalam kalangan mereka akan menyinar dalam industri lakonan tanah air.

“Melihat kepada bakat baharu sekarang ini saya juga faham kehendak semasa yang mahukan mereka menjadi popular dalam media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…
 

“Mungkin kelompok pelakon pada era saya kalah dari aspek pengaruh dalam media sosial, namun kami menang dari segi bakat. Sebab itu saya tidak pernah rasa gentar.

“Meski semakin ramai yang muncul, masih ada tawaran yang saya terima.

“Saya akan jadi tua suatu hari nanti dan mereka inilah yang akan jadi pengganti.

Jadi saya mahu lihat bakat mereka supaya industri seni kita tidak akan mati,” ujar Sara.

Bercakap tentang kepentingan media sosial, Sara akur itu adalah satu perkara penting. Bagaimanapun, ia harus dijadikan medium terbaik untuk mempromosikan bakat.

“Banyak cara untuk ketengahkan bakat melalui media sosial. Tetapi jangan salah guna medium itu untuk tujuan yang tidak baik.

“Pelakon lama seperti saya juga harus memanfaatkan teknologi masa kini. Namun biarlah dengan cara tersendiri untuk kekalkan identiti seseorang pelakon itu,” jelasnya.

Tidak mahu dibayangi sesalan

Dalam tempoh 10 tahun memegang status sebagai anak seni, banyak yang telah dilalui oleh pemilik nama penuh Siti Sarah Hairi Ali ini. Dia juga pernah dikritik hebat gara-gara kekhilafan sendiri.

“Apa yang saya lalui adalah pilihan sendiri. Pengalaman lalu membentuk siapa diri saya pada hari ini.

“Kalau boleh saya tidak mahu hidup dibayangi sesalan. Apa yang telah terjadi adalah satu pengajaran dan pengalaman.

“Apabila difikirkan kembali, segala dugaan itu tidak begitu besar. Hanya perlu merasainya sendiri supaya saya jadi tahu untuk mengatasi masalah lebih besar,” katanya.

Dia juga akui pernah berasa putus asa dan mahu meninggalkan dunia lakonan. Namun, Sara sedar tidak mudah meninggalkan kerjaya yang telah diceburi sejak sekian lama.

“Saya pernah cuba untuk berhenti berlakon dan fokus pada bidang lain. Bagaimanapun apabila cuba lari ia datang kembali.

“Sebelum ini saya melibatkan diri sebagai arkitek tetapi ada pula tawaran berlakon yang sangat menarik, sebab itu saya kembali,” ujar Sara.

Sara bakal muncul dalam telemovie berjudul Sesalan Terakhir arahan Datuk Jurey Latiff terbitan Kembara Sufi Production. Telefilem ini turut menampilkan pelakon hebat Jasmin Hamid dan Faizal Hussein selain pendatang baharu Hafiz Nolan.

Sesalan Terakhir mengisahkan kehidupan Natasha sebagai anak kepada seorang wanita yang hidup penuh dalam kememewahan hasil daripada menjadi pisau cukur. Meskipun dijaga dan mendapat pendidikan yang baik, Natasha melalui episod gelap dalam hidupnya.

“Ini bukan kali pertama saya bekerja dengan syarikat Kembara Sufi Production. Senang bekerja dengan mereka dan ia membuatkan saya rasa mudah untuk terima tawaran ini.

“Saya dan Jasmin Hamid selalu berhubung dalam Instagram, namun tidak pernah bekerjasama. Ini satu peluang terbaik dan dia seorang pelakon yang hebat,” kata Sara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini