TAPAH – Satu mayat lelaki reput yang dibalut dengan karpet ditemui di lereng bukit di kawasan hutan berhampiran kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Lah, Chenderiang di sini semalam.
Mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu dijumpai orang awam selepas dia terhidu bau busuk di kawasan berkenaan pada pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemeriksaan mendapati keadaan mayat yang masih berpakaian itu hampir reput dan dibalut dengan karpet berwarna merah.
“Keadan fizikal mayat tersebut telah reput dengan bahagian kepala hanya tinggal tengkorak manakala bahagian bawah badan masih berisi namun telah dimakan ulat.
“Mayat disyaki lelaki itu dianggarkan berumur dalam lingkungan 20an namun tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat atau kawasan sekitar kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Wan Azharuddin, lokasi mayat ditemui adalah kawasan hutan kebun sawit yang tidak diusahakan.
“Jarak antara lokasi kejadian dengan jalan utama dianggarkan kira-kira dua kilometer dan tiada sebarang penempatan atau rumah kongsi di kawasan sekitarnya.
“Jalan untuk ke lokasi mayat hanya boleh dilalui dengan cara berjalan kaki kerana keadaan laluan yang berbukit,” katanya.
Katanya, mayat telah dibawa ke Hospital Tapah sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil bedah siasat,” katanya. – K! ONLINE











