KUALA LUMPUR 1 Mei- Seorang lelaki yang mengamuk dengan parang ditahan polis dalam kejadian di sebuah rumah di Kemuyang Timur, Sibu di Sarawak pada Ahad lalu.
Memetik laporan Utusan Borneo, dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, suspek berusia 35 tahun itu dikatakan naik angin selepas ditegur kakaknya kerana memarahi anaknya sebelum dipercayai bertindak mengambil sebilah parang dan cuba menghayunkan ke arah bapanya.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner, Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek juga dikatakan mempunyai perasaan dendam terhadap bapanya yang disangka ada mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek.
Menurutnya, ketika kejadian, hanya suspek, ayah dan ibu serta kakaknya berada di rumah tersebut.
“Tiada sebarang kecederaan fizikal dialami oleh bapanya selepas tindakan suspek berjaya dihalang oleh kakaknya (pengadu).
“Hasil siasatan mendapati suspek telah berkahwin dan mempunyai dua anak, namun tidak tinggal bersama isterinya. Ini merupakan kali pertama suspek bertindak sedemikian dan dikatakan kerap bercakap sendiri, menjerit dan meracau di rumah,” lapor Utusan Borneo di sini hari ini
Menurut Stanley, suspek kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan menggunakan parang.-UTUSAN ONLINE











