KUALA LUMPUR 1 Mei – Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia lulus ujian awal selepas berjaya melangkah ke pusingan kedua Siri Jelajah Dunia Super 300 Terbuka New Zealand, hari ini.
Sandaran utama negara itu menampilkan aksi cemerlang selepas menundukkan pilihan keempat dari Jepun, Kenta Nishimoto 21-18, 21-12 dan akan berdepan cabaran seorang lagi pemain Jepun, Kazumasa Sakai yang menang 14-21, 21-11, 21-15 ke atas pemain China, Zhou Zeqi.
Turut ke pusingan kedua ialah pemain profesional, Chong Wei Feng yang menang 17-21, 21-13, 21-16 ke atas Ihsan Mustofa Maulana dan dia akan berdepan cabaran pilihan utama dari Indonesia, Anthony Ginting yang menang 21-19, 21-17 ke atas Brice Leverdez.
Pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut ke pusingan kedua selepas menyingkirkan pasangan Australia, Simon Leung-Mitchell Wheller 21-16, 21-11 dan mengiringi mereka ialah Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang mengetepikan cabaran pilihan keenam dari Taiwan, Liao Min Chun-Su Ching Heng 21-16, 21-13.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga ke pusingan kedua selepas menang 21-15, 21-19 ke atas pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.
Pasangan beregu campuran yang juga pilihan kedua, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga tidak berdepan masalah melepasi halangan awal selepas menang 21-13, 21-12 ke atas pasangan Indonesia, Henrikho Kho Wibowo-Yulia Yosephin Susanto.
Gandingan Vivin Hoo-Yap Cheng Wen menempah aksi pusingan kedua selepas menyingkirkan Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto 21-15, 21-17.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi Soong Joo Ven selepas terkandas di pusingan pertama selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.-UTUSAN ONLINE











