SEREMBAN 1 Mei – Seorang kontraktor Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) diancam dengan pisau pemotong daging ketika hendak membuat pemotongan bekalan air di sebuah restoran di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, kontraktor berkenaan dimarahi dan diancam oleh seorang lelaki dipercayai pemilik restoran tersebut yang berang bekalan air ke premisnya mahu dipotong.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, syarikat itu mengesahkan kejadian berkenaan yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Beliau berkata, tindakan pemotongan bekalan itu oleh Sains adalah sah kerana pengguna tersebut mempunyai tunggakan bil yang belum dijelaskan melebihi RM2,000.
“Pengguna itu telah dimaklumkan berkenaan bil beliau yang telah tertunggak dan pernah diberi peluang untuk membuat bayaran secara ansuran oleh Sains.
“Penyata akaun bil pengguna itu menunjukkan bayaran secara tidak konsisten dibuat setiap bulan olehnya hingga menyebabkan tunggakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Video kejadian itu yang tular menunjukkan seorang lelaki memegang sebilah pisau pemotong daging ketika kontraktor bagi pihak Sains hendak membuat pemotongan bekalan air di restoran di Jalan Dato’ Lee Fong Yee dekat sini.
Norzita berkata, setiap bil bekalan air yang dihantar oleh Sains kepada pengguna turut menyatakan jumlah bil semasa dan tunggakan sedia ada untuk dijelaskan dengan segera.
“Sains sedia memberikan makluman kepada pengguna melalui bil yang dihantar mengenai tempoh bayaran yang perlu dijelaskan agar tidak berlaku pemotongan hingga menyukarkan pengguna sendiri dalam penggunaan air seharian,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Rosli Ishak ketika dihubungi pemberita mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian tersebut, namun enggan mengulas lanjut. – UTUSAN ONLINE











