Hasrat bergambar dengan anak bongsu tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Hasrat bergambar dengan anak bongsu tidak kesampaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – ‘Kalau saya tak ada, tolong jagakan anak-anak nanti ya’.

Itulah antara kata-kata yang terucap daripada mulut seorang ibu, Allahyarhamah Ad’lean Mohd. Yusof yang meninggal dunia akibat komplikasi selepas ketika melahirkan anak bongsunya pada November tahun lalu.

Apa yang memilukan, baru-baru ini, tular beberapa keping gambar potret suami dan empat anaknya bersama ‘roh’ Ad’lean yang merentap jiwa para netizen di media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…
adlean
Konsep sesi fotografi ini bagi menggambarkan anak bongsu, Eva Miranda tidak pernah menatap wajah ibunya sejak dilahirkan. Foto kredit Camora Arts Photography

Wajah Ad’lean yang diedit seperti roh oleh Camora Arts Photography itu dipotretkan bersama keluarganya bagi membayangkan dia seakan-akan ‘ada’ bersama anak-anaknya di dalam gambar tersebut.

Memetik hantaran Twitter pemilik Camora Arts Photography, Zara Haleena, sesi fotografi tersebut telah dirancang dan ditempah sebelum Ad’lean melahirkan anak keempatnya, Eva Miranda yang kini berusia enam bulan.

Katanya, walaupun sudah hampir enam bulan Ad’lean meninggal dunia, tugasan pilu tersebut perlu dilaksanakan kerana ia merupakan amanah daripada arwah dan suami Ad’lean.

Ujarnya, saat tiba di rumah arwah Ad’lean di Ipoh, Perak pada 19 April lalu, kehadiran kru Camora disambut riang oleh anak-anaknya yang kelihatan seronok untuk bergambar

“Saya turut disapa oleh salah seorang ahli keluarga arwah iaitu Intan yang mempelawa untuk melihat Eva namun saya cuba mengelak kerana risau akan menangis.

“Tetapi apakan daya, selepas selesai menyiapkan set pengambaran, saya perlu juga menyiapkan Eva dan pada ketika itu, air mata ini mengalir kerana terkenangkan arwah,” kongsinya.

Tambah Zara, Intan sempat berkongsi detik-detik terakhir bersama Ad’lean yang mengetahui bahawa dia akan ‘pergi’ buat selama-lamanya.

Ujarnya, Intan turut memberitahu bahawa Ad’lean sering mengingatkan orang sekeliling agar menjaga anak-anaknya jika dia sudah tiada nanti dan arwah sering kuatkan diri walapun ketika sakit untuk memastikan barangan kelengkapan Eva selepas lahir cukup.

“Dia seperti sudah dapat rasa yang dia akan pergi,” kongsi Intan.

Dalam pada itu, Zara turut menambah, konsep sesi fotografi yang mendapat perhatian ramai itu agak berlainan sedikit kerana meletakkan wajah Ad’lean seperti bayangan roh dan bagi menggambarkan anak bongsunya itu tidak pernah menatap wajah ibunya.

Hasil perkahwinan Ad’Lean dan suaminya yang dikenali sebagai Wazzy Bakar, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini