Pemandu lori sawit maut tersepit - Utusan Malaysia

Pemandu lori sawit maut tersepit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seorang pemandu yang membawa muatan kelapa sawit maut tersepit, manakala kelindannya cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler muatan bijih besi di Jalan Felda Aring 6, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, pemandu lori jenis Daihatsu, Muhamad Zaki Ismail, 30, dari Felda Chiku 7 di sini maut di tempat kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian dada. 

Manakala, kelindannya yang merupakan warga Indonesia dikenali sebagai Budianto, 41, cedera parah di bahagian kepala.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemandu treler jenis Volvo, Muhamad Arif Ikmal Mohti, 22, dari Ipoh, Perak pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, ketika kejadian pemandu treler muatan bijih besi dalam perjalanan dari Aring 5 menuju ke Kuantan, Pahang.

Katanya, setiba di tempat kejadian, keadaan jalan rosak dan berlubang menyebabkan treler berkenaan telah masuk ke laluan bertentangan serta mendaki bukit dalam kelajuan yang perlahan.

“Pada masa yang sama, lori muatan sawit yang datang dari arah bertentangan dari atas bukit tidak memperlahankan kenderaan terus merempuh bahagian hadapan treler berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu lori sawit tersepit di dalam lori berkenaan telah maut dan rakannya cedera parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Taufik, mangsa yang maut tersepit terpaksa dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat, manakala seorang lagi mangsa cedera dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) AKta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini