Kerabat diraja sertai politik bukti amalan demokrasi subur - Utusan Malaysia

Kerabat diraja sertai politik bukti amalan demokrasi subur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 April – Golongan kerabat diraja menyertai politik dan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) bukan satu perkara baharu, sebaliknya merupakan perkara lazim di negara ini, secara tidak langsung amalan demokrasi berkembang dengan baik dan subur.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) merupakan antara kerabat diraja yang sudah lama berkecimpung dalam politik tanah air.

Beliau malah memberitahu, hal itu tidak menjadi isu kerana Malaysia tidak seperti negara-negara lain yang mempunyai sekatan daripada pihak istana dan juga hal-hal berbangkit lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau mereka (golongan diraja) bersedia untuk bertanding PRU, ia akan memeriahkan lagi suasana politik di negara ini. Ini merupakan negara yang mengamalkan demokrasi. Golongan diraja tidak ada masalah menyertai politik selagi mendapat mandat dari pihak istana.” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang dikatakan menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU-15.

Beberapa gambar tangkap layar daripada Instagram rasmi Tunku Idris Iskandar yang tular dalam media sosial sejak semalam telah memberi gambaran jelas mahu bertanding pada PRU-15.

Gambar tangkap layar pertama memaparkan Tunku Idris Iskandar berpakaian rasmi diraja berserta keterangan ‘I am running (saya bertanding) #PRU-15’ manakala satu lagi gambar tangkap layar disertakan dengan keterangan undian pilihan antara Parlimen Muar atau Mersing.

Sementara itu, Geostrategis Institut Geospatial dari Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan pula berkata, di Thailand, penyertaan kerabat raja dalam politik adalah perkara luar biasa tetapi di Malaysia, walaupun dianggap bukan perkara lazim, tetapi ramai kerabat diraja sudah terlibat.

Jadi, katanya, hasrat Tunku Idris bukan sesuatu luar biasa kecuali jika dikaitkan betapa aktifnya Istana Johor dalam senario politik tempatan ketika ini.

“Contohnya seperti Tengku Razaleigh dari kerabat Diraja Kelantan dan juga Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dari Terengganu. Kedua-dua mereka membuktikan penyertaan kerabat diraja dalam politik tidak mengundang masalah kerana mereka tidak menggunakan kekebalan diraja untuk tidak dikritik.

“Begitu jua berjayanya kedua-duanya dalam karier politik seperti dilantik ke jawatan menteri dan timbalan menteri bukan kerana status diraja mereka, tetapi kerana kebolehan menyumbang khidmat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini