KUALA LUMPUR 30 April – Dua beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka New Zealand di Stadium Eventfinda, Auckland.
Kian Meng-Pei Jing menewaskan pilihan keenam dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dengan kemenangan 21-18, 21-14 dalam aksi pembukaan hari ini.
Pasangan yang tewas awal pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China, minggu lepas itu dijadualkan bertemu satu lagi gandingan Indonesia, Akbar Bintang Cahyono-Annisa Saufika, pada Khamis.
“Kami persiapkan diri dengan sebaiknya sebelum berjumpa pasangan Indonesia itu kerana kami pernah kalah dengan mereka pada Terbuka Jerman, tahun ini. Ia tidak pernah mudah tapi kami pamerkan aksi yang lebih baik,” kata Pei Jing, hari ini.
Sementara itu, satu lagi pasangan negara, Soon Huat-Shevon yang menarik diri pada pusingan kedua BAC ekoran masalah kesihatan yang dialami Soon Huat, bangkit dengan kemenangan selesa ke atas gandingan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Tan Wei Han.
Pilihan ketiga kejohanan itu akan bertemu beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching selepas menidakkan kemaraan Danny-Tan 21-11, 21-17.
Satu lagi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memegang status selaku pilihan kedua akan memulakan aksi pertama mereka menentang Henriko Kho Wibowo-Yulia Yosephin Susanto dari Indonesia, esok.
Turut beraksi pada pusingan pertama, esok ialah perseorangan lelaki, Chong Wei Feng yang akan bertemu Ihsan Mualana Mustofa dari Indonesia, Soong Joo Ven menentang Lee Hyun Il dari Korea Selatan, manakala, Lee Zii Jia pula berdepan pilihan keempat, Kenta Nishhimoto dari Jepun.
Untuk perseorangan wanita pula, Malaysia yang diwakili oleh Soniia Cheah yang turun menentang Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat. Bagi acara beregu wanita, menyaksikan pertarungan antara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean bertemu pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara serta Vivian Hoo-Yap Cheng Wen menentang Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto dari Indonesia.
Beregu lelaki pula yang diwakili Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan menentang Akira Koga-Taichi Saito (Jepun), manakala, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan Simon Leung Wing Hang-Mitchell Wheller (Australia).
Gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula bertemu Liao Min Chun-Su Ching Heng dari Taiwan dan beregu berpengalaman negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan menentang pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel. – BERNAMA











