Kilang PCG beroperasi suku keempat 2019 - Utusan Malaysia

Kilang PCG beroperasi suku keempat 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 April – Petronas Chemical Group Berhad (PCG) akan memulakan operasi ­komersial kilang petrokimia miliknya di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Johor pada suku keempat tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Md. Arif Mahmood berkata, pembangunan kilang itu kini berada pada tahap 98 peratus siap.

Menurut beliau, kilang tersebut akan menambah kapasiti pengeluaran sebanyak 3.3 juta tan setahun berban­ding jumlah pengeluaran sekarang iaitu 12.8 juta tan, tetapi tiada kadar pengeluaran yang tinggi pada tahun pertama operasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada peringkat awal kami tidak akan menjalankan tahap pengeluaran yang maksimum terutama bagi tempoh tahun pertama operasi. Kami mahu melihat bagaimana operasi loji tersebut terlebih dahulu dan selepas itu baru me­ningkatkan kapasitinya pada tahun depan.

“Berikutan peningkatan pengeluaran secara berperingkat, operasi komersial baharu itu tidak dijangka memberi sumbangan ketara kepada hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2019,” katanya pada sidang akhbar mesyuarat agung tahunan (AGM) PCG di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah dan Ketua Pegawai Kewangan, Rashidah Alias.

PCG merekodkan tahap pengeluaran tertinggi pada 10.4 juta tan setahun untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 di sebalik langkah pemulihan statutori yang ketat melibatkan beberapa kilang utamanya selain mencapai kadar penggunaan kilang 92 peratus.

Sementara itu, Md. Arif berkata, insiden kebakaran di PIC baru-baru ini, tidak memberi sebarang impak kepada operasi pembangunan kerana ia tidak berkaitan dengan proses petrokimia.

“Kejadian tersebut hanya menjejaskan unit ­atmospheric residue desulphurisation. Oleh itu, pengoperasian masih diteruskan manakala bahagian yang terjejas akan diasingkan,” katanya.

PCG akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM2.6 bilion hingga RM2.7 bilion tahun ini yang akan digunakan untuk operasi biasa selain untuk langkah-langkah pemulihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini