KEAKRABAN hubungan antara Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad semua sedia maklum. Begitu juga dengan Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Malah Mufti Perlis itu adalah antara individu yang sebelum ini sering kali mempertahankan Perdana Menteri dalam pelbagai isu.
Seiring dengan Dr. Mahathir, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mohd. Asri turut dilihat antara individu paling lantang mengkritik pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Namun selepas hampir setahun, pendirian Mohd. Asri dilihat sudah mula berubah dan seolah-olah seperti kecewa dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan gagal dalam mempertahankan Islam.
Dalam kenyataannya sebelum ini, Mohd. Asri juga pernah secara terbuka menyifatkan PH bakal menjadi kerajaan sepenggal sekiranya mereka tidak berubah dan berupaya mengembalikan keyakinan rakyat yang semakin terhakis.
Terbaharu, pada semalam, Dr. Mahathir pula secara terbuka menuduh Mohd. Asri sebagai ‘pekak’ kerana mendakwa kerajaan PH tidak mempertahankan Islam.
Tidak menggelabah dengan tuduhan itu, Mohd. Asri kembali mempersoalkan Pengerusi Pakatan Harapan itu, siapa sebenarnya yang pekak kerana apa yang beliau katakan adalah realiti yang disuarakan oleh lapisan masyarakat Islam di negara ini.

Sebenarnya kebimbangan oleh Mohd. Asri bahawa kerajaan PH gagal mempertahankan Islam itu ada asasnya kerana jika dilihat pelbagai kenyataan dibuat oleh pemimpin di dalam kerajaan yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum, mereka tidak diambil sebarang tindakan.
Sebagai contoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang pernah mendakwa kononnya Hindu terpaksa memeluk agama Islam jika mahu bekerja dengan kerajaan dan pelbagai tuduhan liar lain, namun tidak pernah diambil tindakan meskipun ratusan atau ribuan laporan polis dibuat terhadapnya.
Begitu juga Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran yang beberapa kali telah mengeluarkan kenyataan berbentuk perkauman namun sehingga hari ini tidak dikenakan tindakan.
Itu yang mungkin dimaksudkan oleh Mohd. Asri mengenai suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran kerajaan hari ini.- UTUSAN ONLINE











