KLANG 30 April – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan dua lelaki yang ditahan semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan bernilai lebih RM180,000 empat tahun lalu direman selama lima hari.
Majistret Rosli Sulaiman memerintah bekas pengurus projek terbabit bersama pemilik sebuah syarikat itu direman bermula hari ini.
Kedua-dua individu yang masing-masing berusia 40 dan 44 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor.
Mereka ditahan kira-kira pukul 5.20 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan.
Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal, bekas pengurus projek terbabit dipercayai telah menerima wang suapan daripada pemilik syarikat berkenaan antara 2015 hingga 2017.
“Wang suapan yang diterima adalah sebagai balasan mengesahkan kerja-kerja yang tidak menepati spesifikasi berhubung sebuah projek pembinaan gudang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.-UTUSAN ONLINE











