BAKU, Azerbaijan – Juara dunia lima kali, Lewis Hamilton mengakui terlalu ‘berlembut’ dengan rakan sepasukannya Valtteri Bottas hingga membuka peluang kepada pelumba Finland tersebut untuk muncul juara pada perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix (GP) Azerbaijan kelmarin.
Pada perlumbaan tersebut, Bottas yang memulakan saingan di petak pertama tidak memberi ruang kepada Hamilton untuk memintasnya meskipun pelumba Britain tersebut dilihat cuba memberi tekanan sewaktu di selekoh pertama.
Bottas memanfaatkan peluang yang ada dan terus mendominasi saingan pertama hingga ke garisan penamat untuk muncul juara di Baku. Kemenangan itu menyaksikan Bottas merampas status pendahulu carta pemandu keseluruhan dengan 87 mata dan mengatasi Hamilton dengan hanya satu mata.
Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel yang sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 52 mata, manakala pemandu Red Bull, Max Verstappen di tangga keempat dengan 51 mata selepas menamatkan saingan di Azerbaijan di kedudukan keempat.
“Saya tidak beraksi dengan begitu cemerlang ketika sesi kelayakan hingga terpaksa bermula di petak kedua. Pada perlumbaan pula saya tidak agresif sekali gus membenarkan Bottas mengawal perlumbaan ini.
“Saya akui dia (Bottas) telah melakukan yang terbaik dan juga tidak melakukan sebarang kesilapan. Bagi saya, Bottas benar-benar layak untuk merangkul kemenangan di sini. Kemenangan ini juga yang terbaik bagi pasukan dan kami terus meraih kemenangan,” katanya.
Mercedes dilihat terus mendominasi perlumbaan F1 selepas melakar kemenangan 1-2 buat kali keempat berturut-turut dan turut meninggalkan pasukan Ferrari 74 mata dalam kategori pengeluar selepas Mercedes kini meraih 173 mata. – Agensi











