KUALA LUMPUR – Pemegang master francais bagi jenama kopi terkemuka, Gloria Jean’s Coffee (GJC), Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) bercadang untuk membuka sehingga 25 cawangan baharu GJC menjelang tahun 2023.
Pengarah Bahagian Perniagaan Francais PNS, Fauzi Awang berkata, pembukaan cawangan baharu itu akan memberi tumpuan kepada pasaran di sekitar Lembah Klang selain bakal memperluas penawaran jenama itu ke Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, PNS ketika ini sedang meneliti kaedah berbeza bagi menempatkan cawangan baharu GJC selain pembukaan di bangunan pejabat dan hospital seperti sebelum ini.
“Kami merupakan jenama pertama membuka perniagaan di pejabat dan hospital sebelum lebih banyak syarikat mengambil langkah sama meneroka pasaran berkenaan.
Justeru itu, PNS ketika ini masih meneliti laluan lain termasuk berhasrat meneroka kawasan luar bandar dalam memperluas GJC.
“Syarikat juga akan memberi tumpuan terhadap usaha melantik pemilik pengendali perniagaan dan bukannya pelabur untuk membuka cawangan baharu GJC selain menggalakkan lebih ramai usahawan muda menceburi perniagaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Ketika ini, PNS mempunyai sebanyak 44 cawangan GJC di seluruh negara yang mana, 41 daripadanya dibuka menerusi model perniagaan francais. Malah, 50 peratus daripada jumlah cawangan francais tersebut menerima bantuan kewangan daripada PNS.
Syarikat juga merancang untuk menambah cawangan GJC di pasaran Indonesia menerusi rakan kerjasama selain membuka cawangan korporat di Myanmar dan Brunei.
Ketika ini GJC mempunyai lapan cawangan di Myanmar, Brunei (4) dan Indonesia (2).











