MARANG 30 April – Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan membuka tiga buah lagi Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) tahun depan bagi menyediakan pendidikan agama secara formal dan lebih menyeluruh bermula peringkat rendah.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, SRIDI baharu tersebut membabitkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jabi, Kijal dan Paka yang akan dibuka secara berperingkat mengikut keperluan.
Menurut beliau, pada masa ini terdapat enam buah SRIDI yang telah beroperasi sejak Januari lalu melibatkan seramai 300 orang pelajar iaitu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di Dungun, Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang),
Manir (Kuala Nerus), Kampung Raja (Besut) dan Wakaf Mempelam (Kuala Terengganu).
“Memandangkan sambutan masyarakat terhadap sekolah ini amat menggalakkan, kita menyasarkan dalam tempoh lima tahun sebanyak 32 SRIDI dapat diwujudkan di semua DUN di negeri ini di bawah peruntukan yang diluluskan dalam Bajet 2019 iaitu sebanyak RM7.8 juta,” ujarnya.
Ahmad Samsuri menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian SRIDI Pengkalan Berangan dekat di sini petang semalam.
Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd. Azmi Mat serta Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Menurut Ahmad Samsuri, ibu-bapa tertarik dengan pendekatan modul pembelajaran SRIDI yang bukan sahaja selaras dengan sekolah kebangsaan malahan mampu melahirkan generasi ilmuan yang bertaqwa, berketerampilan dan beriman selain sesi pembelajaran bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Di samping itu tambah beliau, tahun depan juga, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) pertama akan mula dibuka di Hulu Terengganu iaitu di tapak Kolej Islam Sains Terengganu (KIST) sebelum diperluaskan ke tujuh lagi daerah di negeri ini secara berperingkat. – UTUSAN ONLINE











