KULAI 29 April – Seorang pemandu maut manakala lima cedera termasuk seorang ibu dan bayinya selepas kemalangan yang melibatkan sebuah treler dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 21 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini pukul 4.48 petang tadi.
Dalam kejadian tersebut, sebuah treler yang dinaiki tiga lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dikatakan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan pacuan empat roda dinaiki sebuah keluarga.
Kemalangan tersebut mengakibatkan pemandukereta pacuan empat roda itu tersepit di tempat duduknya sebelum pihak bomba datang membantu mengeluarkan mangsa.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Abd. Malim Abd. Rahman berkata, seramai enam anggota bersama-sama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Mangsa iaitu pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tersepit. Pihak bomba mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
“Penumpang wanita berusia 30-an dan seorang bayi berusia satu tahun dua bulan dalam kenderaan pacuan empat roda itu turut cedera.

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemukan. Operasi tamat pukul 6.40 petang, katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata, dimaklumkan keluarga tersebut datang dari Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE











