KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 45 individu yang terdiri daripada pengedar dan penagih dadah dalam satu serbuan Ops Tapis Khas di sekitar daerah Dang Wangi di sini selama tiga hari bermula pada Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superitendan Rudy Abdullah berkata, serbuan tersebut dilakukan di sekitar kawasan Chow Kit, Tiong Nam, Bukit Bintang, Pudu dan Sang Peng di sini yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dang Wangi.
“Dalam serbuan berkenaan, polis memeriksa 50 individu termasuk enam wanita dan telah menahan 45 daripadanya mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Lima individu termasuk dua wanita tempatan ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana disyaki mengedar dadah selain merampas 31 peket heroin seberat 107.69 gram (g),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Rudy, enam lagi individu bersama seorang wanita tempatan ditahan mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan menemui dua peket heroin seberat 5.1g, 50 biji pil Erimin 5 (15g), 42 biji pil ekstasi serta satu plastik serbuk ekstasi (30.3g).
“Seramai 11 lelaki termasuk seorang lelaki warganegara Myanmar ditahan mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama dengan rampasan 10 peket heroin seberat 21.15g.
“Pihak polis turut menahan 19 individu termasuk tiga wanita mengikut Seksyen 12(1) akta yang sama dan merampas 14 peket heroin seberat 2.38g serta 11 peket methaphetamine(8.4g),” ujarnya.
Beliau berkata, empat lagi lelaki tempatan telah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama dan kesemua suspek telah direman untuk siasatan dan tindakan lanjut. – K! ONLINE











