KUALA LUMPUR 29 April – Ternyata kedudukan ranking tidak memberi kelebihan buat pasukan hoki negara apabila tewas 2-4 kepada Itali dalam kempen Siri Akhir FIH, sebentar tadi.
Dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Malaysian Tigers tewas mengejut kepada pasukan di ranking ke-32 dunia, sedangkan pasukan negara ketika ini dikedudukan ke-13.
Kemenangan Itali itu membolehkan mereka muncul juara Kumpulan B sekali gus mengesahkan tempat ke saingan separuh akhir kejohanan manakala pasukan negara sekadar berada di tangga kedua sekali gus terlepas peluang slot automatik ke saingan separuh akhir pada Jumaat ini. Sementara itu, Faizal Saari mengakui semua rakan sepasukannya kecewa dengan kekalahan ini namun dia berharap dapat melupakan dan menumpukan kepada perlawanan seterusnya.
“Walaupun kita tewas kita kena main suku akhir dan bertemu Wales saya harap kita dapat lupakan perlawanan hari ini dan fokus perlawanan seterusnya.
“Aksi akan datang akan menjadi perlawanan ‘hidup mati’ buat pasukan hoki negara. Bagi saya kita belum ada kemahuan yang tinggi untuk jaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.
Kini Malaysian Tigers harus merebut slot ke separuh akhir menerusi perlawanan play-off pada Rabu ini menentang Wales. Dalam perlawanan tersebut gol awal dijaringkan oleh pemain Itali, Thomas Keenan menerusi pukulan sudut penalti pada minit kesembilan. Gol tersebut memberikan tekanan buat Malaysian Tigers malah dua pukulan sudut penalti awal skuad negara juga gagal dimanfaatkan dengan baik bagi mendapatkan jaringan. Pada minit ke-26, Malaysian Tigers berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti daripada Faizal sebelum Itali kembali mendahului menerusi jaringan padang Agustin Nunez yang tidak dapat diselamatkan dengan baik penjaga gol negara, Hafizuddin Othman pada minit ke-31. Bagaimanapun, penguasaan Itali tidak lama apabila pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd. Rahim berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-35. Kelemahan jentera pertahanan negara pada suku ketiga menyaksikan Itali tidak berdepan masalah menambah dua lagi gol pada minit ke-43 menerusi Nunez hasil pukulan sudut penalti dan gol padang Francois Sior pada minit ke-45. Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B menyaksikan China meraih kemenangan dengan keputusan 2-3 ke atas Brazil. Selaku pasukan di tangga ketiga China harus bermain dalam aksi play-off untuk merebut tempat ke saingan separuh akhir. – UTUSAN ONLINE











