‘Melepak’ di media sosial bersama rakan-rakan maya sebagai diri anda sendiri memang mudah. Tidak perlu mengikut peraturan sangat, melainkan undang-undang negara. Itu sahaja.
Tetapi, sebagai pemilik perniagaan atau pengurus yang bertanggungjawab mengendalikan media sosial untuk jenama syarikat, ini tidak boleh dibuat sambil lewa. Silap hari bulan, mungkin anda sendiri akan menghadapi masalah dengan pihak pengurusan dan juga pelanggan.
Mengapa? Pertama, anda akan kena teruk kerana tiada hasil jualan. Kedua, mungkin juga jenama anda kelihatan tidak profesional di mata pelanggan. Ketiga pula, mungkin juga jenama anda nampak kaku dan keras serta tidak menarik perhatian orang ramai untuk datang lebih dekat.
Jadi, apakah bentuk kesalahan yang boleh anda elakkan? Daripada pemerhatian saya secara peribadi, memang terlalu banyak untuk disenaraikan di sini. Jangan risau, saya senaraikan kesalahan-kesalahan besar dahulu di sini.
Perniagaan tiada rangkaian media sosial
Keadaan ini sering berlaku terutama kepada peniaga kecil dan sederhana. Mereka mempunyai LinkedIn, Facebook, Twitter, Pinterest and Instagram sendiri tetapi tidak mempunyai akaun media sosial untuk syarikat. Ini kesalahan terbesar yang perlu diperbetulkan segera sekiranya anda mahu jenama anda harum dan dikenali di pasaran.
Apabila laman web syarikat pun tidak wujud dan laman media sosial untuk perniagaan pun tiada, perjalanan anda untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai pasti sukar kerana pengguna tidak mempunyai akses melihat kredibiliti jenama anda. Mereka tidak dapat membuat rujukan untuk membuat keputusan sama ada syarikat anda ini boleh dipercayai atau tidak.
Tiada akaun media sosial peribadi
Ada pula yang hanya mempunyai akaun media sosial untuk syarikat sahaja tetapi tidak mempunyai akaun media sosial peribadi. Apabila ini terjadi, biasanya proses untuk mendapatkan pelanggan berbayar adalah jauh lebih perlahan berbanding pemilik perniagaan yang mempunyai akaun media sosialnya sendiri.
Pekerja tidak bangga bekerja di syarikat anda
Anda mempunyai 15 pekerja tetapi tidak ada seorang pun betul-betul berbangga bekerja di syarikat anda kerana mereka tidak pernah berkongsi, memberi komen atau sekurang-kurangnya menderma Like mereka di status-status yang dimuat naik oleh syarikat. Semua interaksi yang ada datangnya daripada luar.
Profil syarikat seolah-olah membaca buku teks
Jangan biarkan orang yang datang dan membaca profil atau syarikat anda akan menguap. Perkataan dan ayat yang digunakan bukan sahaja membosankan, tetapi mengingatkan mereka kepada buku teks sekolah.
Tidak mempunyai video
Anda sendiri tahu komuniti di media sosial semuanya mempunyai selera yang tidak sabar. Semua perlu cepat. Lihat sahaja bagaimana mereka apabila di platform media sosial. Mereka amat cepat dan cuma berhenti pada status yang benar-benar menarik sahaja. Biasanya yang menarik itu ialah video.
Tidak konsisten muat naik status
Jangan terlalu pasif di media sosial kerana kredibiliti jenama anda juga akan dilihat sebagai pasif, tidak bermaya dan kuno. Ini mungkin mempengaruhi sentimen pembelian kerana tiada siapa mahu membeli daripada jenama yang kuno.
Status lemah gemalai
Kalau tujuh tahun dahulu, status yang lemah gemalai boleh lagi dilihat di Newsfeed tetapi kini jarang kelihatan. Status sebegini biasanya tidak mempunyai Like, jumlah komen dan perkongsian yang tinggi, jadi akan tenggelam begitu sahaja berdasarkan algoritma yang digunakan oleh platform itu.
Hashtag berjela-jela berbanding status
Ini berlaku di Instagram biasanya. Hashtag yang ditulis jauh lebih berjela-jela panjangnya berbanding status yang dimuat naik. Apabila saya melihat status begini, nampak sangat terdesak.
Komen dan pertanyaan tidak berbalas
Ini lagi satu kesalahan terbesar di media sosial. Tidak pernah mahu menjawab komen dan pertanyaan yang datang bertali arus dengan segera. Anda perlu tahu, tiga hari di media sosial bersamaan dengan setahun di dunia nyata.
Gambar internet
Terlalu banyak status yang dimuat naik oleh syarikat-syarikat di Malaysia yang sering menggunakan gambar daripada internet. Jual produk dari Malaysia tetapi gambar yang ditunjukkan adalah dari benua Eropah atau Amerika Syarikat. Memang tidak sesuai. Sudah tiba masanya untuk anda menggunakan gambar-gambar anda sendiri, ini lebih baik dan berimpak tinggi.











