LONDON 29 April – Selepas dinobat sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris oleh rakan-rakan seperjuangannya, Virgil van Dijk disebut-sebut sebagai calon utama untuk mencabar anugerah Ballon d’Or.
Bek tengah Liverpool itu bagaimanapun menegaskan, dia langsung tidak terfikir tentang anugerah tersebut, malah melihat pemain yang bakal ditentang dalam separuh akhir Liga Juara-Juara, Rabu ini iaitu bintang penyerang Barcelona, Lionel Messi sebagai calon utama.
Messi telah meledak 46 gol musim ini, malah baru membantu Barcelona menjulang kejuaraan La Liga ke-26 ketika liga bola sepak Sepanyol masih berbaki tiga perlawanan.
Barcelona juga sebelum ini sudah dinobat sebagai juara Cola del Rey, malah dianggap pilihan untuk mengatasi Liverpool, sekali gus merampas gelaran Eropah musim ini.
“Ia (Ballon d’Or) langsung tiada dalam fikiran saya.
“Ramai pemain hebat yang masih beraksi hari ini dan layak mendapat pengiktirafan tersebut.
“Bagi saya, ia sudah cukup menggembirakan dapat memberi persembahan terbaik dan beraksi secara konsisten. Saya rasa, tidak perlulah untuk melihat terlalu jauh,” kata Van Dijk.
Liverpool akan bertandang ke Camp Nou, Rabu ini bersama rekod memenangi 10 perlawanan terakhir berturut-turut (semua perlawasnan), tetapi ditingalkan satu mata di belakang Manchester City dalam perebutan gelaran Liga Perdana.
Anak-anak buah Jurgen Klopp mengharapkan City keciciran mata dalam baki dua perlawanan, sambil mereka pula berharap dapat menewaskan Newcastle serta Wolverhampton.
“Sekarang, kami sedang berjuang dalam perebutan gelaran liga dan separuh akhir Liga Juara-Juara, ia musim yang hebat buat Liverpool,” ujar Van Dijk lagi. -AGENSI











